Sulalatus
Salatin merupakan sebuah karya sejarah yang menceritakan mengenai kebangkitan,
kegemilangan dan kejatuhan zaman Melayu Melaka. Salalatus Salatin juga dikenali
dengan nama sejarah Melayu atau Hikayat Melayu. Karya ini disusun oleh Tun
Muhammad atau nama timbangnya Tun Seri Lanang. Karya ini ditulis adalah untuk
memperlihatkan kebesaran, keagungan, kedudukan dan sejarah silam Raja-Raja
Melayu. Hal ini bersesuaian dengan maksud Salalatus Salatin itu sendiri iaitu
“Salasiah Sultan-Sultan” atau “Segala Raja-Raja”. Selain itu, Sulalatus Salatin
juga memaparkan kehebatan dan kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu, contohnya
kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu ini dikatakan tiada tandingannya dengan
kerajaan lain. Di
samping itu, karya ini juga menunjukkan kebesaran dan kebijaksaan bangsa Melayu
itu sendiri. Hal ini dapat dilihat pada pembesar-pembesar dan pahlawan Melayu
pada masa itu. contohnya Tun Perak dan Hang Tuah dikatakan mempunyai tahap
pemikiran yang tinggi serta kepimpinan yang unggul.
Beberapa koleksi artikel-artikel yang berhubung
dengan karya-karya telah dikenalpasti daripada majalah, surat khabar dan
sebagainya.
i)
Artikel “Ungkapan Sulalatus atas Kanvas Pak Mail”.
Oleh:
Roshlawati Raieh
Sumber:
Sinar Harian, 24 Jun 2012
Dalam artikel ini,
pengarang menceritakan peristiwa yang menarik yang terkandung dalam Sulalatus
Salatin. Antara peristiwa yang dibincangkan oleh penulis ialah kisah perjanjian
di antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Menurut penulis, perjanjian
tersebut berlaku apabila Seri Teri Buana, iaitu Raja negeri Palembang, berduka
lara kerana segan untuk menyuarakan hasratnya untuk mengambil anak Demang Lebar
Daun, Raden Ratna CenderaPuri sebagai isterinya. Sebelumnya,
baginda telah beberapa kali beristeri tetapi wanita yang dikahwininya itu telah
diserang penyakit kulit sebaik sahaja beradu semalaman. Demang Lebar Daun yang merendahkan martabat dirinya
sebagai rakyat biasa walaupun beliau bekas raja negeri Palembang, berasa susah
hati apabila melihat baginda murung. Apabila
ditanya kepada Seri Teri Buana sebab musababnya, maka baginda pun menyuarakan
perasaan yang telah lama terbuku sekian lama. Demang Lebar Daun pun berseruju
untuk bermenantukan baginda tetapi dengan syarat: Jika anak Demang Lebar Daun
terkena penyakit kulit juga, sama seperti isteri-isterinya yang lain terdahulu,
baginda dikehendaki jangan mengeluarkannya dari istana. Sebaliknya diminta
terus memberi kebenaran untuk tinggal di istana walaupun sebagai hamba suruhan.
Syarat yang kedua ialah baginda diminta untuk tidak memalukan rakyat walaupun
kesalahan yang dilakukan itu adalah besar dan syarat yang ketiga ialah raja
hanya boleh menjatuhkan hukuman bunuh jika memenuhi hukum syarak. Berdasarkan kepada petikan tersebut, penulis menerangkan
kepada pembaca bahawa perjanjian yang dilakukan di atas itu sebenarnya menjadi
dasar kepada konsep daulat dan derhaka di mana melatari perhubungan di antara
raja dengan rakyat yang berterusan dari zaman ke zaman sehinggalah ke hari ini.
Penulis cuba mengetengahkan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang diamalkan
oleh golongan atasan kepada golongan bawahan. Dalam
perjanjian itu sebenarnya mempunyai perkara yang tersirat iaitu, golongan yang
mewakili perjanjian tersebut adalah Demang Lebar Daun yang mewakili golongan
rakyat dan Seri Teri Buana yang mewakili golongan di raja. Apabila dikaji
semula mengenai perjanjian tersebut maka jelaslah terbukti bahawa perjanjian
tersebut tidak sama sekali menjatuhkan martabat dan maruah raja tetapi yang
mengalami kerugian adalah golongan rakyat. Penulis cuba menjelaskan bahawa
golongan raja mampu untuk melakukan apa sahaja demi untuk menjaga maruah dan
martabatnya daripada terjejas. Bukan itu sahaja, penulis cuba
menyampaikan kesungguhan Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang mengadakan
Pameran Sulalatus Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang bertujuan untuk
mempertahankan sejarah klasik daripada pupus dan dilupai masyarakat kini.
Pameran ini mendedahkan masyarakat mengenai sejarah dan kegemilangan empayar
Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15. Secara
kesimpulannya artikel ini membincangkan tentang hubungan raja dengan rakyat dan
harga kedaulatannya. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa karya agung merupakan
karya yang sangat besar di mana di dalamnya terkandung segala budaya dan
kerajaan besar Melayu Melaka. Manakala hasil lukisan yang dipamerkan adalah
bagi memastikan pengabdian sejarah bangsa Melayu sebagai teras kesejarahan
Malaysia.
ii)
Artikel “Karya Agung”
Oleh: Noriah Mohamed
Sumber: Dewan Sastera, Disember 2011
Dalam artikel yang
dipetik daripada Dewan Sastera ini, penulis membincangkan mengenai karya agung.
Menurut penulis, karya agung menggambarkan kehebatan sesuatu bangsa kerana
penulisan atau penghasilan sesuatu karya agung dapat dikenalpasti melalui betuk
tulisannya di mana ia mengambarkan keintelektualan sesuatu. Bukan
itu sahaja, penulis juga mengutarakan bahawa karya agung dapat membentuk jati
diri sesuatu bangsa sehingga dapat memantulkan kembali ketamadunan bangsa
tersebut pada bila-bila masa sahaja, sebagaimana kita dapat mengenali
ketamadunan lain seperti tamadun Greek, Yunani, Cina, India dan Mesir.
Oleh itu,
dapatlah dikatakan bahawa karya agung menjadi khazanah kekayaan fikiran sesuatu
bangsa dan ia juga menjadi rujukan serta landasan bagi sesuatu bangsa itu untuk
mengorak langkah kemajuan yang mahu diterokainya. Penulis artikel ini menekankan
kepentingan karya agung di mana ia menjadi harta dan khazanah sesuatu bangsa
yang membolehkan tamadunnya dikenali buat selama-lamanya.
iii)
Artikel “Hang Tuah dalam Tamadun Melayu”
Sumber: Dewan Sastera, April 2012
Artikel ini membincangkan Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu.
Penulis cuba mengulaskan Hikayat Hang Tuah dalam ketamadunan Melayu. Manuskrip
Hikayat Hang Tuah yang bertulisan Jawi merupakan milik Almarhum Tengku Ibrahim
Ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang
Tuah yang pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim
Ahmad. Hikayat ini berperanan sebagai karya sastera kerana berjaya menambat
hati para sarjana dari pelbagai negara. Hal ini juga jelas kelihatan pada
perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Penulis
cuba mengulaskan serba sedikit mengenai Hikayat Hang Tuah ini di mana elemen
sejarah yang terkandung di dalamnya dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan
Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan ke
Melaka. Perjalanan cerita ini dipenuhi dengan pelbagai kisah mengenai
kepahlawanan Hang Tuah dan empat saudaranya iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi,
Hang Lekiu dan Hang Jebat. Hikayat
Hang Tuah ini menceritakan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat kepada raja.
Ketaatan Hang Tuah amat terserlah apabila dia sanggup berkorban nyawa demi
memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman
raja. Penulis mendapati bahawa hikayat ini dapat dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Antara
kisah yang penting dalam hikayat ini adalah pertelingkahan yang berlaku antara
Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat daripada wujudnya sedikit perbezaan
pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat merupakan sahabat yang baik sejak
kecil hingga dewasa namun keengganan Hang Jebat untuk menerima ketaatan Hang
Tuah sehingga mengorbankan nyawa telah menyebabkan Hang Jebat mengamuk di
istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman
mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat telah
mati ditikam oleh Hang Tuah. Kesimpulan
yang boleh dibuat daripada artikel ini adalah persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan
terhadap raja menjadi persoalan yang utama antara Hang Tuah dan Hang Jebat.
Tindakan Hang Jebat merupakan satu usaha di mana pengarang cuba menampilkan pandangan
terkini mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak kemanusiaan. Penulis
cuba untuk membolehkan khalayak pembaca untuk mendapat gambaran yang lebih
jelas dalam memahami dan menganalisi karya agung ini di samping mengaplikasinya
dalam ketamadunan sendiri.
iv)
Artikel “Bahasa Melayu Hak Rakyat Malaysia”
Oleh:
Zaiton Darois
Sumber: Dewan Masyarakat, September 2010
Artikel ini membincangkan tentang keunggulan karya agung yang
menyebabkan penggunaan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rakyat Malaysia.
Bahasa Melayu yang memainkan peranan dalam karya agung Melayu iaitu karya agung
Tun Sri Lanang menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan
kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Dalam karya tersebut jelas terbukti bahawa
bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara masyarakat berbilang bangsa sejak
zaman dahulu lagi. Penulis
mengungkapkan bahawa “bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa”. Hal ini
jelaslah kelihatan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam karya-karya agung
terutamanya dalam hikayat-hikayat di mana menjadi lingua franca pada masa itu
dan juga menjadi bahasa ibunda yng mempunyai hubungan emosional dengan penutur
dan rakyat jelatanya. Penulis
juga menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dalam hikayat-hikayat karya
agung atas beberapa tujuan antaranya menceritakan semangat perjuangan seperti
isu ketidakadilan sosial dan kemiskinan, hubungan antara raja dan rakyat jelata
dan sebagainya. Bukan sahaja disampaikan melalui karya-karya agung malahan,
nukilan seperti novel, cerpen, puisi juga digunakan sebagai pengantar. Dengan
ini jelaslah terbukti bahawa sebagaimana karya agung merupakan khazanah atau
harta sesebuah bangsa bagi mengangkat tamadunnya, begitulah dengan bahasa
Melayu juga. Bahasa Melayu merupakan bahasa hak milik bersama rakyat Malaysia.
Pembentukan sesebuah negara adalah melalui bahasa dan budayanya sendiri.
v)
Artikel “Bahasa dan Tauhid: Warisan Raja Ali Haji”
Oleh: Nuim Hidayat
Sumber: Majalah Suara Hidayatullah, Disember 12,
2012
Dalam artikel ini, penulis cuba mengulaskan hasil karya Raja Ali Haji
iaitu Kitab Bustan al- Katibin. Kitab tersebut ditulis pada tahun 1850M.
Menurut penulis, kitab ini merupakan kitab yang pertama ditulis oleh orang Melayu mengenai bahasa Melayu. Artikel
ini dengan kelihatan bahawa perbincangan dilakukan terhadap bahasa Melayu yang
menjadi warisan yang amat berharga serta penyumbang kepada tradisi pengajian
bahasa dalam Islam yang bermula sejak awal Islam dahulu. (Bustan al- Katibin,
Raja Ali Haji, 2005: xiii). Menurut penulis, kitab Bustan al- Katibin ini amat
menitikberatkan penggunaan bahasa iaitu bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam
Islam, pengajian bahasa Melayu merupakan ilmu alat yang digunakan untuk
mencapai makrifat iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudannya, memperteguh
keimaman dan ketakwaan serta menyemai adab kesopanan yang mulia. Bukan itu sahaja, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan nahwu
(sintaksis), sharaf (morfologi), qawaid (bahasa), mantiq (logika), istidhal
(pendalilan), kalam (penghujahan) dan sebagainya juga ditekankan dalam kitab
ini. Berdasarkan penelitian yang dibuat oleh penulis, beliau mendapati bahawa,
kitab Bustan al- Katibin ini, karya Raja Haji Ali akan dimulai dengan
Muqaddimah dengan judul Fi Fadhilati al-ilmu wal aqlu yang bermaksud kelebihan
ilmu dan akal. Dalam
artikel ini juga, penulis membincangkan bahasa dan tauhid di mana Raja Haji Ali
memainkan peranannya sebagai peletak bahasa Melayu dalam Kitab Bustan al-
Katibin ini. Penulis juga membezakan perbezaan antara Raja Ali Haji dengan
tokoh-tokoh bahasa Melayu yang lain ialah hubungan bahasa dengan penciptanya.
Raja Ali Haji amat menekankan hubungan yang era antara bahasa, akal dengan
pengakuan adanya Allah SWT, maka dengan itu pelajaran bahasa cenderung bersifat
sekunder. Tambahan
lagi, pelajaran bahasa yang membebaskan manusia dengan penciptanya, maka dengan
ini ia menjadikan bahasa itu digunakan dengan seenak yang mungkin. Kemunculan
sesuatu bahasa yang lain yang memyebabkan bahasa tersebut tidak bermutu, di
mana wujudnya kata-kata kasar, kata-kata prono dan sebagainya yang menjadikan
hilang adab dalam berbahasa. Maka dengan ini penulis bertegas dengan
pendiriannya iaitu kitab Bustan al- Katibin, karya Raja Haji Ali mementingkan
aspek bahasa dan tauhid sehingga mempunyai perbezaan yang ketara antara Raja
Haji Ali dengan tokoh-tokoh ahli bahasa Islam dengan tokoh-tokoh lainnya.
vi)
Artikel “Dua Karya Agung Dibedah Siasat”
Sumber: Utusan Online, November 02, 2011
Artikel ini
membincangkan tentang dua buah karya agung yang dicungkil dan dikaji isi-isinya
untuk melihat semula kerelevanan karya tersebut dengan ketamadunan Melayu
terdahulu dan kini. Karya agung tersebut adalah Sulalatus Salatin dan Hikayat
Hang Tuah. Karya agung
ini dikatakan dikaji oleh 10 orang cendekiawan sejarah secara menyeluruh dari
pelbagai sudut dalam Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu yang
berlangsung di Seri Negeri, Ayer Keroh. Antara cendekiawan yang terlibat dalam
pembentangan kertas kerja selama dua hari itu adalah Dr. Muhammad Uthman El.
Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shaharuddin
Maarof (UM), Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Yusoff Hashim (KUIM), Prof. Emeritus
Datuk Abu Bakar Abdul Hamid (UM) dan Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar (USM). Tujuan utama
persidangan itu adalah untuk meninjau dan mengkaji pandangan masyarakat
terhadap isi kandungan karya agung berkenaan yang meliputi aspek kedaulatan
raja, keadilan pemerintah, kebebasan dan kefahaman terhadap institusi kerajaan
Melayu. Karya agung Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah merupakan karya
agung yang melambangkan kemegahan dan kebesaran tamadun Melayu yang terkandung
di dalamnya pelbagai nilai murni yang masih belum diketahui oleh orang ramai. Menurut
penulis, persidangan ini dibuka untuk membolehkan karya-karya tersebut
memberikan ilmu dan tauladan kepada bangsa Melayu terutamanya yang kini sedang
mengalami masalah keyakinan dan identity diri. Bukan itu sahaja, kajian
terhadap karya ini dilakukan bagi mengenalpasti unsur mitos di dalamnya dan
mendedahkan segala nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya kepada
masyarakat untuk dinilai. Secara
kesimpulannya, kedua-dua karya agung tersebut dikaji semula bagi mengenalpasti
keberkesanannya dalam ketamadun Melayu sekarang.
vii)
Artikel “Tradisi dan Nilai dalam Model Karya Agung”
Oleh: S.M .Zakir
Sumber: Dewan Sastera, Disember 2011
Dalam artikel ini,
penulis cuba membincangkan istilah atau maksud karya agung itu sendiri. Menurut
beliau, Agung membawa maksud paling
besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Manakala Karya pula bermaksud buatan atau
ciptaan. Maka dengan ini karya agung bermakna ciptaan atau buatan yang
terutama, tertinggi dan teristimewa yang dihasilkan oleh pengarang. Meletakkan
karya agung iaitu hikayat-hikayatnya dalam kelas yang tertinggi, yang utama dan
ternilai harganya menyebabkan karya-karya agung tersebut diletakkan dalam
konteks kebitaraanya. Penulis menjelaskan lagi akan konsep yang menyebabkan sesebuah
karya itu diangkat sebagai karya agung. Menurutnya penentuan sesebuah karya
adalah berdasarkan kepada pembinaan modelnya. Pembinaan model secara tidak
langsung akan menghindarkan diri daripada terperangkap dalam perbalahan yang
mungkin tidak menemukan kesudahannya. Secara
jelasnya, penulis menjelaskan erti bagi karya agung itu sendiri dan kriteria
yang membolehkan sesebuah karya itu diangkat sebagai karya agung.
viii)
Artikel “Karya Agung ada Kelas Tersendiri”
Oleh: Rashid Ahmad
Sumber: Utusan Online Ogos 18, 1998
Penulis artikel ini
membincangkan kedudukan karya agung yang mengangungi setiap bangsa dalam ketamadunan
mereka. Pengarang menjelaskan setiap bangsa bertamadun mempunyai karya agungnya
yang tersendiri. Sebagai contoh, negara bangsa Rusia berbangga dengan War and Peace yang dikarya oleh Leo Tolstoy manakala negara bangsa Perancis
pula berbangga dengan karya Robespiere
Equality. Namun
demikian penulis amat berbangga kerana bangsa Melayu juga mempunyai karya-karya
agungnya yang tersendiri. Berikut merupakan beberapa contoh karya-karya agung
yang disenaraikan oleh penulis. Antaranya ialah:
a)
Hikayat
Hang Tuah
b)
Tuhfat al-
Nafis
c)
Bustan al-
Katibin
d) Sulalatus Salatin
e)
Hikayat
Acheh
Menurut penulis lagi, “Melayu Nusantara” merupakan definisi Melayu yang digunakan untuk mengklasifikasikan karya agung bangsa Melayu. Karya
agung yang merupakan karya yang telah lama diterbitkan, di mana menjangkau
beradab-abad lamanya, maka usaha untuk menerbitkan semula karya-karya agung ini
telah diambil bagi menerbitkannya dalam bentuk yang lebih eksklusif di samping
menjadikannya kelas yang tersendiri sejajar dengan keagungannya. Bagi
melaksanakan usaha-usaha yang dinyatakan itu, sebuah agensi telah ditubuhkan
iaitu agensi Yayasan Karyawan di mana ia merupakan sebuah agensi yang menjadi
tonggak kepada pemikiran dalam melahirkan karya-karya agung Melayu. Peranan
utama pertubuhan Yayasan tersebut ialah untuk menjalankan penyelidikan, mencari
karya-karya klasik Melayu yang mungkin terlepas pandang atau berada di luar
negara dan dibawa semula ke negara asal bertujuan untuk memberikan nafas baharu
supaya ianya menjadi warisan ketamadunan bangsa Melayu. Penulis
juga telah membincangkan kejayaan yang dilaksanakan oleh Yayasan Karyawan
tersebut di mana agensi tersebut telah melahirkan tiga buah karya agung iaitu
Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al- Nafis. Sulalatus Salatin
merupakan sebuah karya yang terhasil daripada perintah Raja, Bendahara Paduka
Raja, Tun Muhammad yang lebih terkenal dengan nama Tun Sri Lanang. Karya ini
dikatakan penting kerana menceritakan sejarah-sejarah, adat istiadat dan
persoalan yang berkisarkan dalam kronologi sejarah sahsiah dan budaya Melayu.
Bukan itu sahaja, dalam karya ini, perbendaharaan bahasanya menandakan usianya
kerana terdapat sejumlah kata-kata bahasa Melayu Kuno. Artikel
ini juga membincangkan sinopsis yang ringkas bagi membolehkan para pembaca
memahami serba sedikit mengenainya. Karya kedua yang ditingkatkan taraf oleh
Yayasan Karyawan adalah Hikayat Hang Tuah di mana versi mutakhir karya tersebut
telah diberikan pengenalan tambahan oleh Dr. Noriah Mohamed dari kajian dan
pengenalan awal yang dibuat oleh Kassim Ahmad. Namun demikian, pengarang asal
karya ini tidak diketahui dan dikenal pasti tidak mahu menonjolkan diri mereka
sebagai sifat kepengarangan. Karya
yang ketiga ialah Tuhfat al- Nafis. Versi asal karya ini dikaji dan
diperkenalkan oleh Dr. Virginia Matheson, seorang sarjana Kesusasteraan Melayu
di Australian National University, Canberra, Australia. Versi ini dikatakan
lahir daripada kajian dan penelitian terhadap lima naskah manuskrip Tuhfat al-
Nafis yang tersimpan di perpustakaan di London, di Ledian dan di Pusat
Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Karya sejarah Melayu yang meliputi
peristiwa-peristiwa dalam kalangan semua kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah
Melayu dan Kepulauan Riau- Lingga bermaksud Hadiah
Yang Berharga. Selain
itu, penulis juga mengetengahkan bagaimanakah cara versi terbaharu karya-karya
agung diterbitkan. Antaranya ialah, kertas-kertas yang digunakan adalah kertas
jenis tahan lama, halaman-halamannya berwarna putih dengan bingkai awan larat
yang diilhamkan daripada kerawang ukiran Melayu dan gambar-gambar dicetak
semula dengan dilindungi oleh kertas lut sinar. Dalam
kandungan artikel ini, Hassan menyatakan bahawa karya agung merupakan warisan
persuratan dan kebijaksanaan sesuatu bangsa yang mempunyai nilai budaya,
pemikiran, sejarah dan juga seni yang tinggi dan tahan zaman. Karya agung Melayu tidaklah terhad pada
karya-karya klasik yang diyakini karya pascazaman penulisan tetapi boleh juga
termasuk karya lisan, misalnya cerita penglipur lara, pantun dan pepatah. Secara
kesimpulannya, artikel ini banyak membincangkan karya-karya agung yang telah
diagungkan oleh agensi Yayasan Karyawan, kaedah-kaedah yang digunakan untuk
menaiktarafkan karya agung tersebut terutamanya Sulalatus Salatin, Hikayat Hang
Tuah dan Tuhfat al-Nafis. Usaha memartabatkan karya agung sedemikian penting
dalam memastikan warisan ketamadunan bangsa Melayu tidak pupus ditelan zaman.
ix)
Artikel “Perjuangan Fisabilillah Raja Haji dalam
Tuhfat al-Nafis”
Sumber: Berita Harian Online, Mac 28, 2006
Artikel dalam akhbar ini membincangkan perjuangan tokoh Raja Ali Haji
dalam karya agung Tuhfat al- Nafis. Artikel ini hanya memfokuskan bahagian enam
dalam karya agung tersebut iaitu merakamkan kisah perjuangan fisabilillah Raja
Ali Haji, pahlawan terbilang Bugis, anak Opu Daeng Celak yang diangkat menjadi
Yang Dipertuan Muda Riau untuk menentang Belanda. Bukan itu
sahaja, dalam artikel ini juga menceritakan bahawa Raja Ali Haji yang membuat
perjanjian dengan pihak Belanda di negeri Melaka tetapi Belanda telah
memungkiri janji sehingga menimbulkan perselisihan dan Raja Ali Haji telah
memulangkan surat perjanjian tersebut kepada gabenor Melaka. Oleh itu, pihak
Belanda amat marah dengan tindakan Raja Ali Haji dan keadaan telah
dihuru-harakan lagi dengan fitnah orang ramai yang mengatakan Raja Ali Haji
telah mempersiapkan kelengkapan untuk menyerang Melaka. Maka dengan itu, gabenor telah memberi perintah
kepada Piter Jacob Pemberam untuk menyerang Riau terlebih dahulu dan terjadi
pertempuran yang telah mengakibatkan Belanda mengalami kekalahan apabila kapal
miliknya telah terbakar. Sementara itu, Yang Dipertuan Negeri Selangor, Putera
Raja Haji yang mendengar Belanda telah menyerang Riau itu datang untuk
menyerang Melaka tetapi pada ketika itu, tiba-tiba di Batang Tiga, Belanda
telah menyerang angkatannya. Walau
bagaimanapun, angkatan negeri Selangor telah berjaya menumpaskan serangan itu
dan memaksa angkatan Belanda untuk berundur semula ke Melaka manakala Raja
Selangor pada masa itu yang tiba di Riau telah mengajak Raja Haji ke Melaka.
Kandungan dalam artikel ini membincangkan perjanjian dan pertempuran yang
dihadapi oleh Raja Ali Haji berikutan dengan kemungkiran janji oleh pihak
Belanda. Raja-raja
Melayu pula berselisih antara satu sama lain untuk membenarkan atau tidak Raja
Ali Haji pergi ke Melaka untuk berperang tetapi dengan hasrat untuk berjuang
fisabilillah, Raja Ali Haji kemudiannya telah bersetuju untuk belayar ke
Melaka. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa demi untuk mempertahankan
perjuangannya, Raja Ali Haji bersetuju untuk ke Melaka. Beliau telah berkubu di Teluk
Ketapang untuk mengatur serangan ke atas Semabuk dan selepas berlakunya
pertempuran yang sengit itu, Semabuk dapat diambil oleh Raja Ali Haji selain
beliau turut bermesyuarat dengan Raja Selangor untuk mengatur serangan dari
darat. Setelah beberapa lama bertempur, Raja Ali Haji akhirnya dapat mengambil
beberapa daerah di sekeliling Melaka tetapi kotanya masih lagi dikuasai oleh
Belanda manakala gabenor Melaka berada dalam kesusahan kerana belum menerima
bantuan daripada Betawi. Oleh itu, Gabenor Melaka
kemudiannya telah mengirimkan surat kepada raja-raja Melayu agar membantunya
dan memberi jaminan dan pertolongan kepada mereka, lalu Raja Siak, Muhammad Ali
dan sepupunya, Sayid Ali pergi ke Melaka untuk membantu Melaka. Tidak lama
kemudian selepas itu, bantuan daripada Betawi dengan 30 buah kapal perang dan
beberapa ribu askar orang putih dan hitam telah tiba di Melaka untuk menberikan
pertolongan sehingga Belanda menyerang Teluk Ketapang. Apabila diketahui bahawa Belanda semakin
hampir, Raja Ali Haji pun menghunuskan badiknya sambil berwirid Dala’il
al-Khayrat tetapi terkena peluru lalu rebah. Apabila Belanda melihat Raja Ali
Haji telah mangkat terkena tembakan peluru, maka bedian pun dihentikan.
Kemudian seluruh keluarganya iaitu Raja Ali Haji diarahkan keluar dari kubu
tanpa ditangkap dan diminta untul menyempurnakan jenazah Raja Ali Haji berserta
dengan adat istiadatnya. Belanda
telah berhasrat untuk membawa mayat Raja Ali Haji ke Betawi untuk dikebumikan
tetapi pada malam tersebut sebelum bertolak, terjadi peristiwa api yang
memancar daripada peti jenazah lalu membakar kapal yang sedia hendak membawanya
dan kapal itu meletup. Maka dengan itu terbatal hasrat Belanda itu dan jenazah
Raja Ali Haji kemudiannya dikebumikan di belakang kubun kompeni sebelum diambil
oleh anak-anaknya dan disemadikan di Bukit Pulau Penyengat, Riau. Berdasarkan pada
pembacaan yang dibuat daripada artikel tersebut dapatlah dikenal pasti bahawa
keseluruhan artikel ini membincangkan perjuangan Raja Ali Haji dari seawalnya
sehinggalah beliau telah terkorban dalam pertempuran tersebut. Jelaslah
terbukti bahawa perjuangan beliau amatlah besar sehingga beliau mengorbankan
nyawanya sendiri.
No comments:
Post a Comment