Tuesday 21 May 2013

CORETAN TUN SERI LANANG

Di atas runtuhan Kota Melaka,

Aku berdiri seorang diri,
Mengenang Melayu kala jayanya,
Masa kebesaran nenek bahari.


            Kesultanan Melayu Melaka dan pewarisnya Kesultanan Johor Lama bukan sahaja pernah menempa sejarah gemilang dengan kelahiran raja-raja yang  hebat dan berdaulat besar seperti Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah, tetapi juga telah melahirkan tokoh-tokoh cemerlang dari kalangan keluarga bendaharanya yang turut sama mewarnai serta menceriakan lanskap sejarah pemerintahan orang-orang Melayu dahulu kala, dalam peranannya sebagai  ‘tempat perbendaharaan segala rahsia raja’ serta ‘memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang dilingkari raja itu.’
    
            Dari kalangan keluarga bendahara telah lahir tokoh-tokoh yang berwibawa seperti Tun Perak dan Tun Mutahir, pahlawan-pahlawan Melayu perkasa seperti Bendahara Paduka Tuan dan Tun Jenal, tokoh yang menjadi pelopor budaya Melayu seperti Tun Hassan Temenggong, pengasas silat gayung iaitu Tun Biajid, pujangga Melayu terunggul seperti Tun Isap Misai dan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang, tokoh yang berjasa menyelamatkan maruah Institusi Beraja seperti Raden Anum, Tun Habib Abdul Majid dan Tun Habib Abdul Jalil (kemudian menjadi Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV) dan ramai lagi tokoh lain seperti Tun Khoja Ahmad, Tun Abdul Majid, Tun Ali dan sebagainya.

        Malahan dari titisan bendaharalah lahirnya serikandi-serikandi Melayu  terbilang seperti Tun Kudu, Tun Fatimah, Tun Che’ Ayu (Serikandi Riau), Tun (Wan) Puteh (Serikandi Mandailing), serta wanita Melayu tercantik iaitu Tun Teja.

    Maka, ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’, mengkaji sejarah dan latarbelakang Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad, atau lebih terkenal dengan jolokan Tun Seri Lanang  sudah tentu mengingatkan kita kepada bidalan lama ini.

        Tun Seri Lanang lahir dalam tahun 1565M  di Seluyut,  Johor Lama dan menjadi bendahara kepada dua sultan bagi kesultanan tersebut iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570/71-1597M)  dan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M). Beliau juga ditakdirkan menjadiUleebalang Kenegerian Samalanga, iaitu pemerintah otonomi di sebuah jajahan Kesultanan Aceh Darussalam serta penasihat kepada tiga sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Di Aceh Tun Seri Lanang bergelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.   
bangsa Melayu mengenang Tun Seri Lanang sebagai seorang tokoh sejarah dan pujangga Melayu yang agung. Karyanya yang monumental iaitu kitab Sulalatus Salatin atau nama jolokannya Sejarah Melayu yang menjadi rujukan dan kajian sehingga hari ini telah memahkotakan Tun Seri Lanang sebagai pujangga Agung Nusantara.


       Kemasyhuran kitab Sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah Negara Melayu yang paling kuat, agung dan kaya pada abad ke 15M. Lantaran itu karya tersebut seringkali diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang menggambarkan antara lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali dengan tamadun MELAYU ISLAM BERAJAnya, pengluasan kuasa pemerintahnya serta pelbagai aspek dan titik bengik kehidupan kesultanan tersebut yang berakhir dengan episode keruntuhannya akibat serangan Portugis pada tahun 1511 M.Bermakna kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan Melayu awal.


        Menurut Profesor Dato’ Dr Mohd Yusoff Hashim, sumbangan terbesar yang dibuat oleh Tun Seri Lanang sebagai mengikut titah Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah, kemudian menjadi Sultan Abdullah Maayah Shah  Johor 1615-1623) dalam menyusun teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ialah :

        “ Mengketengahkan serta memberi kesedaran kepada  masyarakat dunia bahawa bangsa Melayu  adalah BERTAMADUN setaraf dengan tamadun-tamadun dunia lainnya waktu itu.“

       Dalam hal ini, Tun Seri Lanang bukan sahaja telah menuangkan jasa yang besar kepada bangsa Melayu sebagai pengarang kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, malahan dalam peranannya sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga di Aceh, telah meninggalkan jejak yang besar dalam memberi sumbangan kepada pemertabatan agama dan bangsa di sana.

     Malahan Tun Seri Lanang juga telah meninggalkan warisan keluarga yang cemerlang di kedua-dua Tanah Melayu dan Aceh. Sampai hari ini Kesultanan Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor masih dipegang oleh zuriat Tun Seri Lanang. Sedangkan di Aceh pula, keturunan  Tun Seri Lanang dari keluarga dan kaum-kerabat Uleebalang Kenegerian Samalanga telah bersatu darah dengan bangsawan-bangsawan Aceh yang lainnya sehingga melahirkan beberapa tokoh Indonesia yang terkenal seperti Pocut Meuligo-‘Serikandi Aceh’, pejuang bangsa dan negara seperti Amponsyik (Uleebalang) Samalanga Teuku Muda Bugis Teuku Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan  Mayjend Teuku Hamzah Bendahara, Teuku H. Zainal Abidin Bendahara dan Teuku H Husen Bendahara.



    Kesimpulannya, sebagai seorang tokoh sejarah Melayu tradisional baik dalam bidang kesusasteraan, politik Melayu / Aceh lama, mahupun dalam perkembangan serta pendidikan Islam, sejarah dan riwayat hidup Tun Seri Lanang patut diketengahkan sebagai suri tauladan serta pencetus  semangat bangsa dan agama khususnya bagi orang-orang Melayu.

 KRONOLOGI

1565 Masihi :
Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang lahir di Seluyut dalam Kesultanan Johor Lama

Sekitar 1575-1613 Masihi :
        Menjadi bendahara  kepada dua sultan bagi kerajaan Johor Lama yang bernama Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570/71-1597M)  dan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M).

13 Mei 1612 Masihi :
    Tun Seri Lanang menerima titah Raja Abdullah atau yang disebut juga Yang Dipertuan di Hilir untuk mengarang kitab Sulalatus Salatin iaitu pada masa kekanda Raja Abdullah iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah III sedang bersemayam di Pasir Raja atau Pekan Tua

Mei 1613 Masihi :
    Semenjak tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) telah membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri Melayu termasuk Johor Lama, Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan lainnya, dibuat sebagai strategi Sultan Iskandar Muda untuk menghambat pengaruh dan kuasa Portugis dari kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan kerajaannya yang besar.

        Antaranya termasuklah peristiwa Perang Batu Sawar yang melibatkan serangan tentera Aceh keatas ibukota Kesultanan Johor Lama. Selesai berperang, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar Johor telah ditawan dan dibawa balik ke  negeri AcehSultan Johor kemudiannya telah pulang ke Johor sementara Tun Seri Lanang terus tinggal di Aceh sehingga masa kemangkatannya.

1613 Masihi :
    Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Tun Seri Lanang sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga, iaitu bersifat pemerintah otonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh

Sehingga 1659 Masihi :
            Disamping peranannya sebagai Uleebalang Samalanga, Tun Seri Lanang juga telah dilantik sebagai penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thani (putera Pahang yang menjadi Sultan Aceh) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (permaisuri Sultan Iskandar Thani) dengan gelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Sri Paduka Tun Seberang.

    Sepanjang tempuh kehidupan Tun Seri Lanang sebagai uleebalang/pemerintah otonomi di Samalanga, beliau telah berjumpa dan bersahabat dengan kalangan alim-ulama Aceh yang tersohor. Pada masa ini jugalah Syeikh Nuruddin Ar-Raniry (pengarang kitab mashur Bustanus Salatin) sempat bertemu dengan Tun Seri Lanang, sehingga membawa kepada perhubungan yang saling memenafatkan, saling bertukar ilmu pengetahuan iaitu tentang agama Islam yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, serta bahasa dan kesusasteraan Melayu yang dikuasai pula oleh Tun Seri Lanang.

        Tun Seri Lanang yang memulai penulisan kitab Sulalatus Salatin di Batu Sawar, Kesultanan Johor Lama dalam tahun 1612 Masihi telah meneruskan misi tersebut sepanjang kehidupannya sebagai uleebalang/pemerintah otonomi di Samalanga, Aceh Darussalam.

        Kesimpulannya, dalam peranan sebagai bendahara bagi Kesultanan Johor Lama (yang mewarisi Kesultanan Melaka dari aspek keturunan dan kuasa politik Melayu tradisional), dan kemudiannya sebagai uleebalang serta penasihat bagi Raja-raja Aceh, pendedahan Tun Seri Lanang kepada kehidupan dalaman istana dua kerajaan Melayu yang terbesar waktu itu sudah tentu telah dimenafaatkan sepenuhnya dalam penulisan kitab Sulalatus Salatin. Malahan persahabatan eratnya dengan alim ulama Aceh, pengkajiannya pada sejarah kedatangan  serta perkembangan Islam di Alam Melayu yang kebetulan bermula seawal tahun 850 Masihi, iaitu di zaman tabit tabiin di bahagian Aceh lama seperti Perlak dan Pasai telah memberikan advantage yang besar kepada Tun Seri Lanang dalam misi kepengarangannya sehingga berjaya menghasilkan sebuah karya yang agung dan monumental.

1659 Masihi :
    Tun Seri Lanang meninggal dunia di Samalanga, Aceh. Zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana sedangkan sebahagian lagi zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment