Tuesday 21 May 2013

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU



Falsafah Melayu dalam Karya Agung

Perkataan "falsafah" berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. 
Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan iaitu philo yang 
bermaksud cinta dan sophia yang bermaksud “kebijaksanaan”. Oleh itu,
 falsafah boleh diertikan sebagai “cinta akan kebijaksanaan”. Menurut  
Kamus Dewan Edisi keempat, falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian 
yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu ilmu 
yang lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah 
menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

Berdasarkan Hashim Hj. Musa (1994), falsafah merupakan kajian secara
 renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan
 manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. 
Berdasarkan pendapat pendapat yang diberikan, dapatlah dirumuskan bahawa
 ilmu falsafah ialah ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan 
logikal yang merupakan hakikat benda benda kejadian di alam semesta.

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang dapat dihuraikan melalui tiga sudut pandangan iaitu sudut pandangan bahasa, sudut pandangan pemerhatian praktis dan sudut pandangan perbezaannya daripada ilmu-ilmu yang lain. falsafah juga merupakan satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa arab yang juga berasal daripada perkataan yang disebut sebagai philosophia.

Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Masyarakat Melayu sangat mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebahagian daripada masyarakat.  Nilai sememangnya menjadi sesuatu yang dekat dengan masyarakat Melayu. Nilai dan etika yang dipegang menjadi cerminan kepada masyarakat Melayu dan membentuk jati diri mereka dalam interaksi dan kehidupan bermasyarakat. Sebagai contoh, interaksi yang beradab, sopan, menghormati orang lain merupakan norma- norma yang erat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Nilai yang diamalkan akan menghasilkan komunikasi dan tingkah laku yang penuh tatatertib yang beradab dan penggunaan bahasa yang penuh dengan kesantunan .

Menurut Al-Farabi, falsafah adalah ilmu yang berkisar tentang alam untuk diselidiki hakikatnya yang sebenar. Al kindi pula menyaakan bahawa falsafah adalah salah satu pengetahuan tentang realiti segala sesuatu, sejauh jangkauan kemampuan manusia.

Selain itu, Masyarakat Melayu mempunyai penilaiannya yang tersendiri terhadap budi bahasa. Mereka telah terdidik untuk mengamalkan adab sopan, tutur kata yang baik dan tingkah laku mengikut adab- adab ketimuran dan Melayu sejati. Anggota masyarakat yang tidak mengamalkan nilai berbudi bahasa dalam kehidupam mereka akan menimbulkan pandangan negatif oleh masyarakat. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam ungkapan puisi Melayu tradisional. Dunia Melayu mempunyai pelbagai bentuk dan puisi Melayu tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka, teromba, peribahasa berangkap, nazam, ghazal, berzanji, teka-teki, dan dabus.

Falsafah Bahasa dari Sudut Nahu dalam Sulalatus Salatin

Semua bahasa yang terdapat di dunia mempunyai nahu atau tatabahasa yang tersendiri, terutamanya bahasa Melayu. Nahu atau tatabahasa merujuk kepada sistem atau susunan sesuatu bahasa. Bahasa terdiri daripada kumpulan ayat yang tidak terbilang jumlahnya. Penggunaan nahu yang sempurna bermaksud penggunaan kata atau perkataan dan ayat yang betul dalam proses berbahasa.
Nyanyian dalam karya sulalatus salatin memperlihatkan penggunaan bahasa yang sangat halus untuk menggambar sesuatu perkaran. Perkara ini dapat dilihat melalui nyanyian Kapitan Melaka.
Dihela-hela diretak sehasta
Kandis dipenggalkan
Alangkah gila Raja Kecil
Menggusta manis ditinggalkan
Melihat buah hartal masuk.
                                                                                        
                                                                                     (Muhammad Haji Salleh, 1997: 217)

Nilai berbudi dan berbahasa dianggap sebagai suatu nilai yang tinggi dalam masyarakat Melayu dan disanjung tinggi sebagai ukuran ketinggian keperibadiannya. Dalam karya Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh menunjukkan ketinggian ilmu orang Melayu dalam berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang indah seperti pantun dan syair.



Falsafah Alam

Hubungkait antara manusia dan alam sekitarnya iaitu “bagaimana manusia menggunakan kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan alam. Dalam pemikiran Hamka, alam membantu masyarakat untuk terus berpegang bahawa segala yang ada di seluruh alam ini telah terancang oleh Pencipta. Menurut ahli falsafah agama seperti Klaus Klostermaier, kepentingan memahami alam sebagai unsur yang mempunyai nilai ketuhanan  bukanlah sebagai jalan terakhir, tetapi sebagai jalan yang sebenar dalam memastikan alam sekitar dihargai. Menurut agama Hindhu dan Kristian juga, kedudukan alam wajib dihargai.

Konsep falsafah Islam

Falsafah ialah satu disiplin ilmu yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Menerangkan pertalian antara manusia dengan penciptanya, antara manusia dengan manusia dan juga manusia dengan persekitarannya. Falsafah islam  tidak dapat dipisahkan daripada dua sumber berautoriti iaitu al-quran dan as-sunnah.

Falsafah Ibadah dalam Sulalatus Salatin

"Hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu kepada hadrat Allah Taala yang akan memelihara akan kamu, kerana wa man yatawakkal 'ala'llah. Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifi dia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; ............ Jikalau engkau bunuh ia tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa."
                                                    (Muhamad Haji Salleh, 1997: 186 -187)

Raja Iskandar menyuruh Raja Kida Hindi untuk memeluk agama Islam. "Kata Nabi Khidir: ' Ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahlan Allah Taala kerajaan dunia ini kepadanya,dari daksini lalu ke paksina.'"
                                                           (Muhammad Haji Salleh, 1997: 5)
Aspek politik masyakarat melayu Walaupun raja pernah bermusuhan, apabila sudah kalah,raja lama secara langsung menghormati raja baru.

Falsafah Keadilan dalam Sulalatus Salatin

Falsafah keadilan dapat dilihat melalui tindakan Sultan Muzaffar Syah mewujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. ganjaran terhadap kesilapan yang dilakukan ialah hukuman. Dalam karya ini tidak banyak menonjolkan sikap raja yang adil, tetapi perkara yang banyak ditonjolkan adalah berkaitan sikap raja yang tidak adil. Beliau memang patut dipuji kerana tidak hanya menceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman yang telah dilakukan oleh raja. Beliau patut dipuji kerana tidak menyembunyikan kezaliman raja terhadap rakyat dan juga pembesar. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja. Sebagai contoh, kezaliman yang dilakukan oleh Sulatan Mahmud Syah ke atas keluarga Tun Fatimah kerana berdendam. Sultan Mahmud Syah telah membunuh Tun Mutahir, Tun Ali, dan keluarga Tun Fatimah.

Setelah Sultan Mahmud Syah melihat rupa Tun Fatimah maka baginda pun terlalu khairan. Maka teringinlah rasa Sultan Mahmud Syah akan Tun Fatimah. Maka baginda berkata dalam hatinya, “Jahatnya Pa’ Mutahir ini, demikian baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita.”
Maka Sultan Mahmud Syah pun berdendamlah rasanaya akan Bendahara Seri Maharaja.
                                                          (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 201)

Falsafah Melayu Berkaitan dengan Adat

Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun temurun. Adat yang diwujudkan perlu dipatuhi oleh masyarakat. Dalam Sulalatus Salatin, terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan raja dan golongan rakyat. Adat yang digunakan pada masa dahulu juga masih ada yang digunakan pada masa sekaranag sesuai dengan peredaran masa.

Adat Penganugerahan Gelaran

Adat ini dimulakan dengan menjemput orang yang bakal menerima gelaran ke istana. Jemputan pula penganugerahan adalah mengikut pangkat dan gelaran yang bakal diterima. Orang besar-besar akan menjemputnya jika mendapat penganugerahan ‘Perserian’. Bagi anugerah ‘Persangan’ hanya orang kecil-kecil sahaja yang akan menjemput orang yang bakal menerima anugerah. Orang yang akan menerima anugerah akan dijemput dengan menggunakan gajah atau kuda.

Mereka akan diiringi dengan payung dan gendang se­runai ke istana. Ketika tiba di istana, riwayat mereka akan dibaca dan diberi persalinan mengikut gelaran yang diberikaan oleh raja. Sebagai contoh, anugerah Bendahara akan diberi lima ceper persalinan.

Jika baginda menggelar orang, maka raja dihadap orang di balairung, orang beradat. Maka dijemput orang itu: jika "Perserian ", Orang Besar-besar menjemput dia; jika "Per­sangan", orang kecil menjemput dia; jika "Pertuanan" orang sedang menjemput dia; dan jika orang bergelar itu patut bergajah, dibawakan gajah; yang patut berkuda, dibawakan kuda; dan jikalau tiada patut bergajah dan berkuda, dibawa berjalan dengan bingkisan, dengan payung dan gendang se­runai, tetapi payung itu, ada hijau, ada yang biru, ada yang merah, dan sebesar-besamya payung kuning; dan payung putih dengan nagara itu mahal adanya, sebaik-baiknya nafiri. Dan payung kuning itu payung anak raja-raja dan orang besar-besar; dan payung ungu dan merah dan hijau itu payung sida-sida dan ben tara hulubalang sekalian. Adapun payung biru dan hitam itu akan payung barang orang bergelar juga.
                                                                   (A. Samad Ahmad, 1979:76)

Adat Mengadap Raja di Balairung

Semasa mengadap raja terdapat adat istiadat mengadap raja di balairung. Pembesar-pembesar akan di susun mengikut pangkat kebesaran tersendiri seperti bendahara, penghulu bendahari, dan temenggung akan duduk di seri balai. Anak- anak raja akan duduk di bahagian serambi balai sebelah kiri dan kanan. Sida- sida yang muda akan duduk berselang-seli dengan bentara dan hulubalang yang berdiri di ketapakan balai memikul pedang. Petikan di bawah menggambarkan aturan mengadap raja di balairung.  Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah.
          
Kemudian dari­pada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang ba­ginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya.
        (A.  Samad Ahmad, 1979:)


Falsafah Kekuasaan

Falsafah lain yang boleh dilihat dalam karya agung Melayu ialah tentang falsafah kekuasaan. Kitab Salalatus Salatin banyak menceritakan tentang kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari sudut pemerintahan. Hal ini demikian kerana, raja berkuasa menitahkan semua [erkara kepada rakyat dan rakyat wajib menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja yang ditonjolkan juga dilihat sebagai satu tindakan yang menindas golongan rakyat. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa dan bertindak zalim di luat batas kemanusiaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika rakyat terlalu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk. Sebagai contoh, Sultan Mahmud Syah sanggup membunuh keluarga Tun Fatimah kerana terlalu tergoda dengan kecantikkan dan sanggup merampasnya daripada Tun Ali. Perkara ini boleh dilihat melalui petikan teks dibawah:

Maka Sultan Mahmud Syah menitahkan Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka segala anak buah Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya berkampunglah kepada Bendahara Seri Maharaja sekaliannya dengan segala senjatanya.
Maka dibunuhlah Bendehara Seri Maharaja dan Seri Nara al- Diraja dan segala anak bauhnya yang mau mati sama-sama dengan dia.
Setelah itu maka Sang Sura datang berlari-lari dari dalam membawa titah pada Sang Sura, “Titah Yang Dipertuan jangan semuanya dibunuh,tinggalkan akan benih.”
          (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 205)

Falsafah Waad

Falsafah ini merupakan satu falsafah yang berkaitan dengan perjanjian yang dikenali dengan Waad. Waad merupakan kontrak sosial yang dilakukan di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal iaitu sejenis penyakit kulit. Waad ini dilihat sebagai satu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan golongan rakyat. Perjanjian ini mengandungi perjanjian timbal balik. Sebagai contoh, rakyat tidak boleh mendehaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat patuh kepada pemerintah dan raja tidak akan bertindak zalim terhadap golongan rakyat.

Maka sembah Demang Lebar Daun, “Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosya besyar-besyar | dosyanya sekalipun jangan ia difadhihatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosyanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hokum syar’i.
Maka titah baginda, “Kabullah hamba akan janji bapa hamba Demang Lebar Daun( tetapi hamba hendak minta satu janji pada bapa hamba.)”
Maka Sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, tuanku?”
Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah pada akhir Zaman kelak anak cucu bapa jangan durhaka, dan anak cucu hamba, jikalau ia zalim dan jahat, pekertinya sekalipun.
Maka titah Seri Buana, “Baiklah, kabullah hamba akan wa’ad itu.”
                                                       (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 23-24)

Falsafah lain yang dapat dilihat ialah keberanaian. Keberanian raja merujuk kepada keberanian menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut menceritakan keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti badang. Badang sanggup melakukan semua perkara dalam keadaan berani dan tidak mengalah. Petikan dibawah dapat menggambarkan tentang peristiwa tersebut.

Adapun akan baginda Seri Rana Wikrama ada hulubalang baginda, terlalu gagah.
Setelah dilihat oleh tuannya maka kata tuannya, “siapa menebang perhumaan kita ini? Bangat amat suci.”
Maka kata badang, “Beta menebang dia.”
Maka kata tuan(nya), “Betapa perinya engkau menebang dia maka bangat amat sudahnya ini, dengan luasnya saujanan mata menentang?” Maka oleh Badang segala perihal ehwalnya semuanya dikatakan kepada tuannya. Maka oelh tuannya Badang itu dimerdhekakannya.
                                                      (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 37-38)

Maka kata pahlawan keling itu kepada Badang, “Marilah kita berkuat-kuatan mengangkat batu itu. Barang siapa tiada terangkat olehnya, alah.”
Maka sahut Badang, “Baiklah, angkatlah oleh tuan hamba dahulu.” maka diangkatnyalah oleh pahlawa Keling itu, tiada terangkat. Maka disungguh-sungguhinya, terangkat batu itu hingga lututnya, lalu dilepaskan.
Maka katanya kepada Badang, “Sekarang pergantian tuan hambalah.”
Maka kata Badang, “Baiklah.” Oleh Badang itu diangkatnya batu itu lalu dilambungnya seraya dilemparkannya ke seberang kuala Singa Pura.
                                                                                    (Muhamad Haji Salleh, 1997 : 39)


 Sumber dipetik daripada:
1. Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalat Al-Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. A.Samad Ahmad (2008). Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan dan
Dewan Bahasa dan Pustaka

1 comment:

  1. Satu informasi yang baik khususnya untuk bangsa Melayu...good job!!!

    ReplyDelete