Tuesday 21 May 2013

KITAB SALASILAH MELAYU DAN BUGIS : NILAI KEMELAYUAN

1.0  PENGENALAN
Salasilah Melayu dan Bugis merupakan hasil karya yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Karya ini dipercayai ditulis pada tahun 1890 dan dikarang sendiri oleh Raja Ali Haji di Riau. Hasil karya Raja Ali Haji ini membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan raja-raja Bugis, asal-usul mereka dan pergolakan politik yang mereka alami sehingga menyebabkan mereka tersingkir daripada kuasa diraja tradisional dan juga Kepulauan Riau. Karya ini dianggap penting kerana ianya memaparkan sudut pandangan Bugis mengenai peranan mereka dalam sejarah Melayu.                                                             
            Kitab Salasilah Melayu dan Bugis menceritakan tentang pemgembaraan dan kegiatan politik Upu-upu Bugis Lima Bersaudara di Nusantara pada kurun ke-18. Teks karya ini merupakan sebuah karya yang bersifat sejarah tetapi masih lagi menempatkan beberapa ciri-ciri persejarahan tradisi seperti adanya unsur-unsur kesusasteraan seperti pantun dan syair yang diselitkan untuk mengukuhkan lagi penerangan bagi sesuatu sejarah peristiwa tersebut. Karya ini mengisahkan Upu-upu lima bersaudara dalam peperangan, keberanian, kepahlawanan, kesetiaan dan kehandalan mereka serta kemasyhuran raja-raja Melayu.
            Kemunculan pengaruh Bugis dikatakan bermula apabila berlakunya perebutan kuasa pemerintahan di antara raja di negeri-negeri Tanah Melayu di mana mereka telah membuka ruang kemasukan pengaruh iaitu campur tangan kuasa Bugis. Dari bantuan peperangan sekaligus memberikan hak kuasa dalam pentadbiran. Misalnya, penglibatan putera Bugis iaitu Upu Daing Parani dalam perang perebutan taktha di antara Yamtuan Muda Kedah adik-beradik, Upu-upu bersaudara telah membantu Raja Sulaiman membanteras pemberontakan Raja Kecil di Riau.                                                                       
            Kemudian Raja Kecil dari Siak terlibat dalam peperangan perebutan takhtha Negeri Kedah. Raja Kecil membantu Raja Kedah Muda (Yamtuan Muda) menentang kebangkitan Raja Kedah Tua dengan bantuan Upu-upu Bugis. Peringkat iaitu sebulan awal peperangan pihak Bugis telah menang. Kemudian Raja Kecil dari Siak telah masuk menyebabkan Upu Daing Parani terbunuh oleh tipu muslihatnya. Hal ini telah memyebabkan kepada kebangkitan perang besar akhirnya menyebabkan Raja Kecil lari pulang ke Siak.
            Bukan itu sahaja, interaksi kekeluargaan melalui perkahwinan di antara orang Melayu dan Bugis juga telah mewujudkan salasilah melalui percampuran keturunan. Misalnya Upu Daing Chellak telah menikahi Tengku Mandak iaitu puteri Sultan Abdul Jalil yang bersala dari Johor-Riau). Manakala Daing Parani, putera sulung Daing Relika pula menikahi Tengku Tengah/Tengku Irang (kakak Tengku Mandak). Melalui pernikahan ini dan proses sosialisasi dan asimilasi Bugis dan Melayu terus berlaku.
            Teks dalam karya Salasilah Melayu Bugis juga memuatkan keturunan raja-raja negeri Johor-Riau (Barat & Timur), Kedah dan Selangor sebagaimana disebut pada halaman 108-159. Di sebelah Barat Johor, jurai keturunan adalah seperti yang berikut:
a)    Upu Daing Parai dikahwinkan dengan Tun Irang (adik tengah Sutlan Abdul Jalil).
b)    Daing Menampo dikahwinkan dengan Tun Tipah (puteri marhum muda- adik Sultan Jalil yang mangkat di Kuala Pahang).
c)    Daing Massuro dikahwini dengan Tun Kecil (puteri Marhum Muda)
d)    Daing Manto dikahwini dengan Tun Inah (puteri Marhum Muda)
Di sebelah Timur pula iaitu Riau,
a)  Upu Daing Cellak dikahwinkan dengan Tengku Mandak (gelarannya Tengku Puan). Tengku Mandak adalah adik kepada adik kepada Raja Sulaiman-Putera Sultan Abdul Jalil.
b)  Yamntuan Muda Upu Daing Merewah berkahwin dengan Engku Encik Ayu anak Engku Temenggung setelah kembali dari perang dengan mencapai kemenangan.
c)  Negeri Riau diperintah oleh Yamtuan Raja Sulaiman manakala adiknya Tengku Kamariah dikahwinkan dengan Raja Kecik dari Siak.
           
Manakala jurai keturunan di Kedah pula adalah seperti yang berikut:
a)  Raja Kedah (tua) meminta bantuan daripada Upu-upu Lima Bersaudara untuk menjadikannya Yamtuan di Negeri Kedah setelah adiknya menjadi Yamtuan Muda (adik). Ganjaran sebanyak lima belas bahara telah diberikan manakala Upu Daing Parani bersetuju dengan syarat semua orang tersebut dan Mandar telak diletak di bawah kuasa pemerintahnya.
b)  Semasa Upu Daing Parani mengadakan majlis pertabalan Raja Kedah Tua sebagai Yamtuan maka Raja Kedah muda pun melancarkan perang di mana perang tersebut berjalan selama sebulan.
c)  Kemenangan dalam persebut telah memashyurkan Upu-upu bersaudara dan Upu Daing Parani dikahwinkan dengan adik Raja Kedah Tua dan hasil perkahwinan mereka telah dikurnai seorang puteri.                      
                         
Dengan ini, maka jelaslah terbukti bagaimana kewujudan salasilah Melayu Bugis. Karya Salasilah Melayu Bugis lebih ke arah membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan raja-raja Bugis, asal-usul mereka dan pergolakan dalam bidang politik.

Kitab Salasilah Melayu dan Bugis
      
1.1      KONSEP NILAI-NILAI MELAYU
Nilai-nilai tradisi yang lama telah bertapak dalam masyarakat Melayu telah menyebabkan terbentuknya sistem nilai yang mencorakkan beberapa kepercayaan, norma, amalan dan tingkah laku anggota masyarakat tersebut. Menurut Raymond Firth (1964), beliau menerangkan bahawa nilai dikenalpasti melalui objek, motif dan matlamat. Clyde Kluckhohn (1951) menjelaskan bahawa konsep nilai kadang kala dikelirukan dengan sikap, tindak-tanduk, objek, kuantiti yang boleh diukur, adat istiadat atau tradisi. Menurut beliau lagi, nilai ialah satu konsepsi yang diingini sama ada yang tersurat atau tersirat yang mencirikan individu atau kumpulan yang mempengaruhi cara, maksud dan matlamat tindakan yang dilakukan.                                                                    
            Bukan sahaja masyarakat Melayu yang menyedari akan kepentingan nilai malahan seluruh anggota masyarakat yang mempercayainya. Sebagai contoh, Pusat Perkembangan Kurikulum telah menyenaraikan sebanyak 15 nilai murni dalam Falfasah Pendidikan Negara sebagai satu elemen dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kesemua nilai-nilai yang digariskan itu merupakan penentu dalam diri manusia seterusnya mempengaruhi pilihannya dalam kehidupan dan akan menentukan tingkah lakunya.
            Coughlan (1969) merumuskan definisi bagi nilai dengan menjelaskan bahawa nilai kebiasaannya dililihat sebagai keutamaan, criteria, objek, milik, personality dan sifat-sifat status, pemikiran yang tetap yang telah diwariskan dalam objek-objek atau terdapat dalam diri manusia yang bersamaan dengan tingkah laku.
            Nilai bukan sahaja berasaskan kepada kepercayaan semata-mata malahan nilai juga adalah bertujuan untuk membaiki taraf hidup manusia dalam mencapai hasil yang maksimum berdasarkan kepada sumber yang telah diberikan. Secara kesimpulanya, nilai merupakan satu aspek yang penting dalam mencorakkan budaya hidup manusia. Nilai jugalah yang mencerminkan norma masyarakat. Norma ini amat penting dalam mengawal tingkah laku manusia atau kelompok masyarakat kerana jika setiap anggota masyarakat dibiasakan membuat apa sahaja tanpa peraturan dan pantang larang, maka sesuatu perkara itu akan dilakukan mengikut sesuka hati sahaja tanpa memikirkan persepsi serta pandangan masyarakat atau orang yang berada di sekeliling.
            Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa nilai adalah sesuatu yang diwarisi, dipertahankan dan dijaga dengan rapi. Justeru penerapan nilai yang berasaskan kepada norma yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa perlu berjalan seiring agar sesebuah masyarakat yang harmonis dan bersatu padu dapat diwujudkan dan dibina kukuh.


1.2 DAPATAN KAJIAN
Kajian berkaitan nilai atau aksiologi merupakan cabang ilmu falsafah di mana ia meneliti, menganalisis, dan menghuraikan segala ilmu pengetahuan yang berguna dan bermanfaat. Nilai-nilai yang dianggap patut, baik, benar, dan indah adalah sesuatu yang diingini dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Gambaran tentang nilai dan peribadi orang Melayu sudah lama diperkatakan iaitu sejak zaman lahirnya bangsa Melayu itu sendiri. Antara tokoh yang terawal ialah Abdullah bin Abdul Kadir atau Abdullah Munsyi. Selain itu, nilai-nilai yang dimiliki oleh orang Melayu telah banyak juga dinyatakan dalam karya-karya agung Melayu. Misalnya hikayat-hikayat lama seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Abdullah dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, kitab Salasilah Melayu dan Bugis yang dikarang oleh Raja Ali Haji. Di dalam kitab ini, ada dinyatakan banyak nilai-nilai kemelayuan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu pada ketika itu. Antara yang dapat dikenal pasti ialah :

1)    Nilai Manusia Budiman.
Budiman menurut Kamus Dewan edisi Keempat membawa maksud berbudi, berakal dan bijaksana. Masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan dan sangat lazim dengan  amalan berbudi antara satu sama lain serta sesama mereka. Hal ini disebabkan oleh masyarakat pada zaman dahulu sangat mengutamakan amalan berbudi pekerti dan saling bantu membantu sekiranya ada dalam kalangan masyarakat tersebut mengalami kesusahan. Hati budi ialah hakikat diri seorang manusia. ‘Hati’ ialah tempat perasaan, kesedaran, keyakinan, dorongan (drive), dan juga tempat penerima hidayat Ilahi iaitu ‘hati nurani’. ‘Budi’ ialah akal; daya fikir untuk memahami sesuatu perkara, dan kebolehan untuk berdalil dan menyimpul secara rasional, juga merupakan kepandaian, keupayaan dan kebijaksanaan yang mampu melahirkan seorang yang “budiman”. Hati dan budi bertindak secara berintegrasi dalam diri seseorang sebagai satu kesatuan sehingga terjelma dalam tindak tanduk, budi pekerti, budi bahasa, nilai, norma, pemikiran dan ilmunya. Hal ini seterusnya akan melahirkan sifat keperibadian atau identitinya secara individu dan secara kemasyarakatan apabila sifat itu dimiliki sepunya oleh masyarakat itu secara kolektif.
Salah satu nilai budiman yang ditunjukkan oleh masyarakat Melyu ialah amalan tolong-menolong. Budaya tolong-menolong sudah lama diterapkan dalam diri setiap anak Melayu. Amalan ini turut ada dinyatakan dalam kitab Salasilah Melayu dan Bugis. Misalnya dapat dilihat melalui contoh di bawah :

"...Maka banyaklah orang-orang Matan yang di luar masjid ini menangis mendengar perkhabaran Sultan Muhammad Zainuddin itu. Dan banyaklah orang-orang Matan sehari-hari menyuruh menghantarkan makanan kepada sultan itu di dalam masjid... maka sedapat-dapatnya juga orang-orang dengan bersembunyi menyuruh menghantar makan-makanan kepada Sultan di masjid itu. " (halaman 13)

Sultan Muhammad Zainuddin merupakan sultan yang memerintah negeri Matan pada ketika itu. Namun, kerajaannya telah diambil alih oleh Pangeran Agung, iaitu salah seorang anak kepada Sultan Safiyuddin dan juga adik kepada Sultan Muhammad Zainuddin. Sultan Muhammad Zainuddin telah melarikan diri bersama keluarganya ke negeri Banjar dan memohon pertolongan Penembahan Banjar untuk mendapatkan semula kerajaannya. Peperangan berlaku antara orang Banjar dan orang Matan, namun, orang Banjar telah kalah dan mereka berundur dari negeri Matan tersebut. Sultan Muhammad Zainuddin yang turut serta dalam peperangan tersebut telah terkepung oleh rakyatnya sendiri  dan melarikan diri ke sebuah masjid di Matan. Pada masa yang sama, Sultan Muhammad turut menyatakan kekesalannya kepada sekalian menteri-menteri yang mengepung di luar masjid, tempat persembunyiannya. Mendengar kepada kekesalan itu, orang-orang Matan berasa sedih lalu menangis. Mereka nekad untuk membantu Sultan Muhammad yang terperangkap di dalam masjid itu dengan memberikan makanan kepadanya walaupun ditegah oleh Pangeran Agung. Hal ini jelas membuktikan bahawa orang Matan mengamalkan amalan tolong-menolong terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan.
Terdapat juga beberapa contoh lain yang dapat dilihat dalam Kitab Salasilah Melayu Bugis yang menceritakan budaya tolong menolong sesama manusia. Misal lain dapat dilihat pada bab enama, halaman 42, Kitab Salasilah Melayu Bugis. Antara rangkap yang menceritakan kisah ini ialah :

" Alkisah maka tersebutlah pula perkataan suruhan Sultan Muhammad Zainuddin yang pergi ke Siantan minta bantu kepada raja Bugis yang lima bersaudara itu... sebermula serta sudah habis dibacanya itu surat, maka mesyuaratlah Opu Daing Parani kepada saudara-saudaranya sekalian. Dan seturutlah sekalian saudara-saudaranya beserta dengan orang-orang yang di bawahnya semuanya membenarkan kemuafakatan itu akan pergi membantu Sultan Muhammad Zainuddin itu..." (halaman 42)

Dalam bab enam ini, Sultan Muhammad Zainuddin telah memohon pertolongan daripada Opu Daing Parani dan saudara-saudaranya untuk membantunya mendapatkan kembali kerajaan yang telah diambil alih oleh adiknya itu. Mendengar kepada pertolongan yang diminta oleh Sultan Muhammad Zainuddin itu, maka Opu-opu lima bersaudara itu pun bersetuju untuk membantunya kerana mereka tahu bahawa Sultan tersebut amat memerlukan bantuan mereka. Di sini jika diperhatikan terdapat satu nilai mulia yang dimiliki oleh Opu-opu berketurunan Bugis ini. Walaupun mereka tidak berketurunan Melayu, namun mereka masih memiliki sifat memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Hal ini dibuktikan dengan persetujuan Opu-opu lima bersaudara itu dalam membuat keputusan untuk menolong Sultan Muhammad Zainuddin merampas kembali takhtanya.  

2)    Nilai Kebijaksanaan
Masyarakat Melayu zaman dahulu banyak disulami dengan pengaruh-pengaruh dari Tanah Arab. Hal in demikian kerana terdapat beberapa pendapat yang menyatakan bahawa orang Melayu asalnya dari Tanah Arab, namun teori ini tidak diterima berdasarkan bukti-bukti yang dinyatakan. Seperti yang umu sedia maklum, masyarakat Arab pada zaman Khalifah dahulu sangat bijak terutama dalam hal-hal peperangan. Hal ini dapat dibuktikan dengan beberapa strategi yang diatur oleh pemimpin-pemimpin peperangan zaman Nabi dahulu yang sangat menakjubkan dan akhirnya membawa kepada sebuah kemenangan. Kebijaksanaan dalam peperangan juga ada ditunjukkan dalam beberapa hikayat Melayu atau karya agung Melayu. Umpamanya Hikayat Hang Tuah. Dalam kitab Salasilah Melayu Bugis, terdapat juga beberapa kebijaksanaan yang dimiliki oleh pejuang-pejuang mereka iaitu Opu-opu lima bersaudara. Misalnya dapat dilihat dalam bab 9, halaman 69, kitab Salasilah Melayu Bugis, iaitu :

"... Maka adalah pada siasatku dan ijtihadku dan fikiranku,esok hari kita berperang bersungguh-sungguh. Adapun kubu-kubu jarang-jarang membedil dan perahu-perahu berperang juga sampai undur juga ke kuala perlahan-lahan supaya diikut oleh orang-orang Siak kerana disangkanya kita hampir-hampir tewas hingga malam. Apabila malam maka aku bertiga beradik serta Daing Menampo belayar ke Riau dengan perahu yang dua puluh buah itu dan kamu semua pun yang tinggal di sini berperanglah bersungguh-sungguh hati. Maka apabila dilihatnya aku semua undur disangkanya aku alah tiada dapat tiada diikutnya... " (halaman 69)

Situasi tersebut berlaku semasa peperangan antara Opu-opu lima bersaudara itu dengan Raja Kecil yang telah mengambil kerajaan Riau daripada Raja Sulaiman. Peperangan ini adalah atas arahan Raja Kecil yang menginginkan kerajaannya semula dan mengembalikan semula barang-barang yang dirampas oleh Raja Kecil yang dibawa ke Linggi pulang semula ke Riau. Dalam peperangan ini, Opu Daing Parani telah menggunakan kebijaksanaannya mengatur strategi untuk mengaburi mata tentera Raja Kecil. Hasil daripada strategi yang dirancangnya, Opu Daing Parani berjaya menipu Raja Kecil dan apabila melihat tentera Bugis itu berundur dari Linggi, maka Raja Kecil bersorak keriangan dan mengatakan bahawa mereka telah berjaya mengalahkan tentera Bugis yang dipimpin oleh Opu lima bersaudara yang dikatakan sangat hebat pada ketika itu. Akhirnya, Raja Sulaiman berjaya mendapatkan kembali kerajaannya yang dirampas oleh Raja Kecil. Hal ini menampakkan bahawa kebijaksanaan Daing Parani tidak kurang hebatnya sama dengan kehebatan yang dimiliki oleh pemimpin peperangan pada masa dahulu.

3)    Nilai Mematuhi Adat
Dalam masyarakat Melayu, adat amat dipandang tinggi, dihormati, dijunjung dan disanjung. Pelanggaran sesebuah adat Melayu dianggap sebagai sesuatu yang terkutuk dan dicemuh oleh masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui beberapa pepatah Melayu yang banyak menyentuh persoalan adat dalam masyarakat Melayu. Misalnya " Biar mati anak, jangan mati adat " atau " Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah ". Justeru, masyarakat Melayu amat mementingkan adat istiadat dan kemanisan dalam berbicara atau pertuturan mereka. Umpamanya adat atau etika dalam berkomunikasi. Masyarakat Melayu selepas kedatangan Islam banyak dipengaruhi dengan kebudayaan Islam. Contohnya adat dalam berkomunikasi dengan orang lain. Sebelum memulakan perbicaraan, masyarakat Melayu amat mementingkan adat pembuka bicara yang sangat sopan. Contoh yang paling mudah ialah amalan memberi salam tidak kira antara kecil, besar, tua atau muda. Amalan ini diamalkan oleh masyarakat Melayu sebagai satu tanda penghormatan seseorang kepada orang yang ingin dituturkannya. Dalam kitab Salasilah Melayu Bugis ini, terdapat juga beberapa contoh lain yang menyatakan adat hormat-menghormati sesama manusia. Contohnya adalah seperti yang berikut :

"... Maka serta sampai ke hadapan Raja Bone, maka segeralah ia ditegur oleh Raja Bone dengan hormatnya. Maka didudukkannya kepada tempat yang patut, iaitu bagaimana istiadat sekalian anak raja-raja yang besar-besar..." (halaman 15)

Pada halaman ini. ia menceritakan tentang perjalanan Opu Daing Rilaka yang ingin melawat saudaranya di negeri Bone. Sebelum pemergiannya ke negeri Bone, Opu Daing Rilaka memohon kebenaran isterinya untuk pergi melawat saudaranya iaitu Raja Bone. Setibanya di negeri Bone, Opu Daing Rilaka memberi salam atau teguran kepada Raja Bone dengan rasa hormat. Hal ini menunjukkan, walaupun Opu Daing Rilaka berketurunan Bugis, namun beliau masih mengamalkan adat sopan santun dan budaya memberi salam. Namun, tidak diketahui sama ada Opu Daing Rilaka memberi salam ataupun tidak. Satu perkara yang dapat dikenalpasti ialah Opu Daing Rilaka tidak secara melulu masuk ke negeri orang tanpa pembuka bicara yang sopan.
            Selain pembuka bicara, masyarakat Melayu juga sangat kaya dengan adat istiadatnya. Jika dapat dilihat, adat masyarakat Melayu tidak hilang dek zaman walaupun zaman semakin canggih dan maju. Adat istiadat menurut Kamus Dewan membawa maksud suatu peraturan yang diamalkan secara turun-temurun atau sejak dahulu kala di dalam masyarakat sehingga menjadi hukuman dan peraturan dan peraturan yang harus dipatuhi. Adat istiadat juga menjadi suatu cara yang menjadi suatu kebiasaan. Dalam Salasilah Melayu dan Bugis ini, adat istiadat perkahwinan jelas kelihatan apabila Sultan Sulaiman ingin menyatukan adinda Tengku Mandak dengan paduka adinda Opu Daing Cellak. Setelah persetujuan bersama telah dibuat, maka perancangan dan penyediaan majlis perkahwinan pun berlangsung denga pengamalan beberapa istiadat yang wajib dilaksanakan. Antaranya ialah, adat berinai. Majlis perkahwinan dilangsungkan secara besar-besaran di mana Datuk Bendahara telah mengumpulkan orang-orang negeri untuk memainkan nobat dan berzikir. Berikut merupakan teks yang dipetik daripada Salasilah Melayu dan Bugis bab sepuluh iaitu:

"... Syahadan kira-kira selang tiga hari maka baginda Sultan Sulaiman pun hendak menyatukan paduka adinda Tengku Mandak dengan Paduka adinda Opu Daing Cellak. Maka baginda pun bertitah kepada Datuk Bendahara, “Baiklah tuanku.” Lalulah Datuk Bendahara naik ke istana memberitahu Raja Tua penghulu istana akan berinai sebagaimana adat-istiadat raja yang besar-besaran. Maka Raja Tua penghulu istana bersedialah akan adat dan alat dan segala jawatan akan pengantin..." (halaman 92)

Terdapat contoh adat meminang lain yang dapat dilihat pada bab enam, halaman 46, Kitab Salasilah Melayu Bugis. Misalnya :

"... 'Adapun yang seperti hajat sahaya ini maka dengan seboleh-bolehnya tuan hendak ayahanda ambilkan diperbuat menantu dan anak ayahanda perempuan ada tiga orang. Maka boleh anakanda-anakanda tiga orang itu berbini kepada anak ayahanda.' Kemudian jawab opu-opu itu, 'Baiklah, akan tetapi hendak bermuafakatlah anakanada sekalian turun ke perahu.' ..." (halaman 46)

Dalam rangkap ini, Sultan Muhammad ingin berterima kasih kepada Opu-opu lima bersaudara itu dengan mengahwinkan anak-anak perempuannya. Namun, adat istiadat meminang yang dijalankan ialah seperti adat meminang yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah dalam meminang Nabi Muhammad, di mana wanita yang meminang lelaki. Walaupun adat ini kelihatan janggal bagi masyarakat Melayu, namun ia tidak menjadi satu masalah untuk meminang seorang lelaki. Hal ini kerana selaras dengan apa yang pernah dilakukan oleh masyarakat-masyarakat Arab yang beragama Islam pada suatu ketika dahulu dan tiada ayat yang mengatakan bahawa wanita meminang lelaki adalah suatu kesalahan.

            Selain itu, Kesultanan Melayu dahulu amat menitikberatkan upacara-upacara pengganti raja atau upacara perlantikan raja baru. Dalam kitab Salasilah Melayu Bugis yang dikarang oleh Raja Ali Haji, kesultanan Melayu pada waktu itu juga amat mementingkan upacara-upacara pertabalan sesuatu perkara. Misalnya upacara penggantian raja. Dalam Salasilah Melayu dan Bugis ini, sebanyak lima keturunan telah diamalkan sewaktu zaman di Singapura itu. Pada mulanya negeri Singapura telah diperintah oleh Raja yang bergelar Seri Teri Buana. Setelah raja mangkat, pemerintahan telah digantikan dengan anaknya iaitu Seri Pikrama Wira dan seterusnya digantikan dengan Paduka Seri Maharaja dan Rakna Wikrama. Pengganti yang terakhir ialah Raja Sekandar Syah. Berikutan merupakan lima keturunan yang telah diwarisi untuk memerintah negeri Singapura pada zaman itu. Teks asal didapati daripada bab lima, halaman 27, kitab Salasilah Melayu dan Bugis.

"... Ingatan keturunan segala raja-raja Melayu. Mula-mula pertama negeri Singapura ialah rajanya yang bergelar Seri Teri Buana. Itulah raja yang dari Bukit Siguntang. Sudah hilang itu berganti pula dengan anaknya jadi raja yang bergelar jadi raja yang bergelar Rakna Wikrama. Sudah hilang itu bergelar pula dengan anaknya menjadi raja yang bergelar Paduka Seri Maharaja. Sudah hilang itu berganti pula dengan anaknya yang bergelar Raja Sekandar Syah. Zaman dialah meninggalkan negeri Singapura lalulah ia berbuat negeri Melaka itu. Jadi lima keturunanlah waktu zaman di Singapura itu..." (halaman 27)



4)    Nilai Merendah Diri dan Bersederhana
Sikap merendah diri dan kesederhanaan yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu pada zaman dahulu bukanlah bersifat negatif, malah dianggap sebagai satu sifat yang menunjukkan kehalusan peribadi masyarakat Melayu untuk menjadi masyarakat yang berbudi dan beradat. Dalam masyarakat Melayu, merendah diri adalah satu amalan yang terpuji dan disukai oleh masyarakat sekeliling. Dalam kitab Salasilah Melayu Bugis yang telah dikaji, sikap merendah diri dan amalan bersederhana ada diamalkan oleh masyarakat pada ketika itu. Misalnya dapat dilihat dalam contoh teks di bawah :

"... Dua tiga hari inilah bonda. Maka apalah yang bekerja sekadarkan membaca doa selamat sahaja sedikit sudahlah. Kita pun tengah bergaduhan ini..." (halaman 87)

Opu Daing Merewah telah dilantik menjadi Raja Muda Johor pada ketika itu dan Daing Chellak pula  dijodohkan dengan adik baginda Raja Sulaiman iaitu Tengku Mandak. Menurut bonda Raja Sulaiman, mereka hendaklah diraikan seperti adat-adat Melayu mempertabalkan raja, namun baginda Raja Sulaiman hanya ingin bersederhana iaitu dengan membuat bacaan doa sahaja. Di sini dapat dilihat bahawa nilai Kemelayuan iaitu sikap merendah diri dan besederhana ada dinyatakan dalam kitab Salasilah Melayu Bugis ini.


KESIMPULAN
Masyarakat Melayu sangat terkenal dan juga kaya dengan nilai-nilai serta budi bahasanya yang indah. Hal ini bukan sahaja dapat dibuktikan melalui pertuturannya, tingkah laku dan personalitinya, malahan dapat dilihat dalam hasil-hasil kesusasteraan Melayunya. Misalnya karya-karya agung yang dihasilkan oleh beberapa tokoh Melayu. Setiap bangsa di dunia memiliki karya agung dan kesusasteraan tersendiri. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan elemen-elemen keindahan atau estetika dalam setiap karyanya. Tidak ketinggalan nilai-nilai kemelayuan itu sendiri. Dalam salah satu kitab karya agung yang telah dikaji, banyak nilai-nilai kemelayuan yang dapat dikenal pasti telah wujud dan dimasukkan dalam karya penulisan tesebut. Kitab yang telah dikaji ialah kitab Salasilah Melayu dan Bugis yang telah dikarang oleh Raja Ali Haji. Kitab ini menceritakan sejarah mengenai salahsilah keturunan Melayu dan Bugis. Dalam kitab ini juga ada menceritakan kisah kepahlawanan yang dimiliki oleh opu lima bersaudara berketurunan Bugis yang handal dalam berperang pada kurun ke-18. Karya ini merupakan sebuah karya yang bersifat sejarah tetapi masih lagi menempatkan beberapa ciri-ciri persejarahan tradisi seperti adanya unsur-unsur kesusasteraan seperti pantun dan syair yang diselitkan untuk mengukuhkan lagi penerangan bagi sesuatu sejarah peristiwa tersebut.
Beberapa nilai kemelayuan telah dapat dikenalpasti wujud dalam sejarah pengembaraan ini. Antaranya ialah nilai manusia budiman, nilai merendah diri, nilai mematuhi adat dan nilai kebijaksanaan. Walaupun kitab ini banyak menceritakan kisah sejarah pengembaraan Opu-opu lima bersaudara berketurunan Bugis, namun mereka mempunyai ciri-ciri yang dimiliki oleh masyarakat Melayu. Misalnya budaya hormat-menghormati, bantu membantu kepada mereka yang memerlukan pertolongan dan budaya berterima kasih. Jika dilihat dari segi pertuturan Opu-opu lima bersaudara ini, mereka juga mempunyai ciri kesopanan dan santun dalam setiap pertuturannya. Misalnya adab memberi salam ketika melawat ke tempat orang. Justeru, dapatlah disimpulkan bahawa banyak nilai kemelayuan telah disisipkan oleh pengarang dalam kitab Salasilah Melayu Bugis ini. Walaupun mereka bukan berketurunan Melayu, namun nilai dan ciri kemelayuan ditonjolkan oleh mereka.

1 comment: