Saturday 18 May 2013

JENIS DAN PRINSIP RETORIK


JENIS-JENIS RETORIK
i)                    Pemerian
Pemerian ialah teknik penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Retorik ini bertujuan untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar.

ii)                  Pemujukan
Retorik jenis ini menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan itu.

iii)                Penerangan
Retorik jenis ini pulak merupakan satu bentuk pemyampaian melalui cerita sama ada dalam penulisan mahupun lisan.

iv)                Pendedahan
Retorik ini memberikan pendedahan dan menampakkan sesuatu atau menyingkap, memaparkan atau menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Tujuan retorik ini adalah untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khayalak dengan berkesan.

v)                  Penceritaan
Retorik ini merupakam satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun dalam lisan.

vi)                Penghujahan
Retorik ini juga dikenali sebagai pemujukan rasional atau intelek. Retorik jenis ini digunakan dalam sesuatu perbahasaan, perdebatan, pembicaraan, forum, dan penulisan yang bersifat akademik.

            PRINSIP-PRINSIP RETORIK
Secara umumnya, terdapat beberapa prinsip bagi penggunaan retorik ini supaya pengguna dapat menggunakan dengan berkesan agar tujuan utama pencapaiannya dapat difahami oleh pembaca. Berikut merupakan prinsip bagi retorik yang boleh digunakan dalam bentuk penulis:

i)                    Retorik Pemerian
Retorika pemerian bertujuan memberikan gambaran visual yang jelas kepada khalayak seperti dalam pelukisan. Dalam retorik tersebut, penghasil wacana memindahkan pengamatan dan pemerhatiannya kepada khalayak. Bahan yang dipindahkan termasuklah imej, hal fizikal, keadaan, perasaan, suasana, latar dan sebagainya. Pemerian sewajarnya dilakukan secara objektif, tepat dan jelas. Penghasil wacana hanya memerihalkan sesuatu objek atau perkara sebagaimana kewujudan sebenarnya, iaitu tidak memasukkan emosi, imaginasi, atau pandangannya dalam wacana yang dihasilkan. Daripada segi penerimaan wacana pula, pembaca dan pendengar seolah-olah dapat melihat ciri-ciri objek yang digambarkan. Bagi menghasilkan wacana dengan retorik pemerian, penghasil wacana boleh memberikan gambaran secara realistik atau impresionistik. Gambaran secara realistik bermaksud penghasil wacana menggambarkan sesuatu dengan berdasarkan fakta-fakta yang konkrit manakala gambaran secara impresionistik dapat mencetuskan imaginasi khalayak sehingga imej-imej yang digambarkan dapat dikembangkan oleh khalayak dengan lebih khusus lagi. selain daripada bentuk prosa, retorik pemerian juga terdapat dalam bentuk puisi dan dapat diperlihat oleh kata-kata yang berirama.

ii)                  Retorik Pemujukan
Retorik pemujukan juga dikenali sebagai retorik pengaruhan. Hal ini demikian kerana dalam retorik ini, penulis atau penutur berusaha untuk mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan, dan pandangan pembaca atau pendengar. Bagi mempengaruhi khalayak, retorik pemujukan mementingkan kehalusan berbahasa dengan menyelitkan unsur-unsur psikologi serta perbandingan kebaikan dan keburukan. Hal ini dilakukan agar individu yang dipujuk akur pada saranan yang dikemukakan dan seterusnya bertindak mengikut kemahuan pihak yang melakukan pemujukan. Antara ciri penting dalam retorik pemujukan ialah penghasil wacana akan memainkan emosi penerima wacana. Dengan memanipulasikan emosi khalayak, penghasil wacana berharap pendirian penerima wacana akan berubah lalu bertindak mengikut kehendak penghasil wacana. Perasaan takut, belas kasihan, rasa bersalah, megah, malu dan sayang merupakan antara perasaan yang sering dieksploitasikan. Sebagai contoh, ungkapan “Berasa malu kerana jerawat? Gunakan krim XYZ!” mengeksploitasikan perasaan takut dan malu pembaca. Selain itu, jenis retorik ini sering menggunakan bahasa yang manis dan menarik. Penggunaan bahasa yang sedemikian terdapat penggunaan iklan yang menggunakan teknik ini.

iii)                Retorik Pendedahan
Pendedahan boleh diertikan sebagai ‘perbuatan mendedahkan atau menampakkan sesuatu yang sebelum ini tidak diketahui’. Hal ini bermakna, retorik pendedahan merujuk kepada satu teknik pemakaian bahasa yang menampakkan sesuatu perkara atau topik sehingga perkara atau topik tersebut dapat diketahui dan difahami oleh khalayak. Selain pendedahan, retorik ini juga dikenal sebagai retorik penjelasan. Hal ini demikian kerana tujuan retorik ini adalah untuk memberikan pemahaman kepada khalayak. Oleh itu, sesuatu topik perlu dihuraikan, disingkapkan, dipaparkan dan ditunjukkan dengan jelas dan terperinci supaya khalayak dapat memahami topik yang diperkatakan. Bagi khalayak memahami topik, retorik ini perlu memberi sebanyak mungkin maklumat yang ada. Seterusnya, penghasil wacana perlu berusaha memindahkan ideanya kepada khalayak secara berkesan. Biasanya, idea yang sering dijelaskan dengan menggunakan retorik pendedahan ialah idea yang berkait dengan definisi, konsep, istilah, fakta, falsafah, masalah, analisis, proses dan dasar tertentu.                            
Terdapat tiga prinsip utama dalam retorik jenis ini iaitu:
a)               Penghasil wacana mesti pakar dalam subjek yang diperkatakan.
b)              Khalayak tidak faham akan subjek.
c)              Subjek yang dibicarakan tidak kontroversi, iaitu tidak akan  mencetuskan perbezaan pendapat.

iv)                Retorik penghujahan
Retorik penghujahan tergolong dalam retorik pengaruhan. Namun demikian, retorik ini memerlukan bukti dan alasan yang kukuh untuk meyakinkan khalayak. Oleh itu, retorik penghujahan turut dikenali sebagai pemujukan rasional atau intelek. Retorik penghujahan memerlukan khalayak bersetuju dan yakin akan pendapat yang dikemukakan. Hal ini bermakna bahawa dalam retorik penghujahan, khalayak dianggap sebagai orang yang bijak, objektif dan berkemampuan membuat penilaian terhadap sesuatu usul. Kenyataan tesis, premis dan khalayak merupakan unsur penting yang terdapat dalam retorik penghujahan. Kenyataan tesis merupakan pendapat atau usul yang dikemukakan untuk dibahaskan. Pendapat ini mesti dibezakan dengan fakta yang merupakan suatu kenyataan yang benar sedangkan pendapat cuma menjadi suatu pemikiran, andaian, atau kemungkinan. Premis merupakan bukti atau alasan yang dikemukakan untuk menyokong sesuatu tesis. Bukti ini boleh terdiri daripada fakta yang konkrit, pendapat pakar, contoh, kes, statistik yang sesuai atau alasan yang munasabah manakala khalayak pula merujuk kepada penerima wacana yang perlu diyakinkan supaya bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tujuan pemakaian retorik penghujahan adalah untuk meyakinkan khalayak dengan bukti dan logik, iaitu bukti yang berasaskan penaakulan yang betul dan tepat.

v)                  Retorik Penceritaan
Retorik penceritaan berupaya menyampaikan sesuatu cerita, iaitu menghubungkan beberapa siri peristiwa yang berkaitan dalam satu plot yang logik. Retorik ini digunakan dalam penulisan cerpen, novel, autobiografi, biografi, lipur lara, hikayat dan banyak lagi. Penulisan penceritaan terbentuk daripada bahagian permulaan, perkembangan cerita, konflik, dan peleraian sehingga terhasil satu kesatuan. Retorik ini mengandungi empat prinsip yang bertalian, iaitu kesatuan (unity), pertautan (coherent), penekanan (emphatic) dan gaya bahasa yang menarik. Kesatuan dalam penceritaan berkaitan dengan tema, iaitu aspek yang mewujudkan kesatuan fikiran dalam sesuatu cerita. Pertautan pula berkaitan dengan plot atau jalinan cerita, iaitu terdapat kesinambungan idea dalam cerita tersebut. Seterusnya, penekanan dalam penceritaan merujuk kepada pemilihan dan penyusunan peristiwa yang dapat menarik minat khalayak. Dalam hal ini, cerita yang diselitkan dengan unsure saspens, klimaks, dan kadar gerak penceritaan peristiwa-peristiwa yang pantas akan menimbulkan keseronokan kepada khalayak.

vi)                Retorik Penerangan
Retorik penerangan bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pengguna wacana. Oleh hal yang demikian, retorik ini dikatakan bersifat informatif. Dalam lisan, retorik penerangan menyampaikan maklumat dan mesej tertentu dengan intonasi dan nada yang menarik. Retorik penerangan menggunakan bahasa formal yang tepat, jelas dan bernas supaya orang yang diberi penerangan mengetahui dan memahami maklumat yang disampaikan. Maklumat boleh disampaikan secara lisan daripada seseorang kepada seseorang yang lain, melalui media cetak, media elektronik, internet dan buku panduan. Antara maklumat yang sering disampaikan dengan menggunakan retorik penerangan termasuklah maklumat tentang cara memasak, memasang mesin dan mengendalikan peralatan komputer.

No comments:

Post a Comment