Saturday 18 May 2013

KONSEP KEINDAHAN DARI SUDUT ORANG MELAYU


Estetika yang berasal daripada sumber Greek yang mempunyai kaitan dengan deria pengamatan yang melibatkan mata yang berfungsi untuk melihat. Dalam proses menikmati estetika sesuatu objek seni, mata merupakan salah satu deria yang boleh menilai estetika. Dalam konteks ini, estetika mengikut pendapat Socrates ialah sesuatu yang melibatkan imaginasi. Proses imaginasi ini pula ialah bagaimana seseorang menikmati sesuatu karya yang melibatkan perasaan dan emosi (Zakaria Ali, 1987).

            Di samping itu, estetika juga merupakan ilmu yang didapati daripada apa yang dinilai daripada objek seni. Objek seni yang dilahirkan oleh orang Melayu kebanyakkannya berkait dengan keindahan yang tertakluk kepada bahan dan teknik. Bahan daripada alam semula jadi pula merupakan tahap pengalaman yang terpenting bagi orang Melayu. Keadaan alam semula jadi yang kaya dan indah menjadi tarikan kepada seniman Melayu untuk menghasil dan membuat sesuatu untuk keperluan dan kegunaannya. Penggunaan bahan alam yang dihasilkan mereka melibatkan dua perkara, iaitu teknik dan estetika. Teknik dikaitkan dengan kaedah atau proses yang dilalui oleh seniman sehinggakan dapat menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai estetika. Nilai estetika yang dihasilkan dalam kraf orang Melayu ini adalah berkaitan halus, berguna, bersatu, berlawan dan prinsip berlambang (Zakaria Ali, 1987) supaya penghasilannya dapat memberi kepuasan kepada pereka dan penghayat kraf atau seni.

            Dari segi kehalusan sesuatu seni yang dihasilkan oleh orang Melayu melibatkan cara pembuatan teliti dan bahan yang sesuai dari segi kegunaan. Penghasilan seni yang berguna pula, melibatkan hasil seni yang memenuhi fungsi yang bukan hanya indah dipandang, malah selesa dipegang. Prinsip bersatu pula bermaksud sesuatu hasil seni tidak berakhir dan berhujung (tiada awalan dan akhiran), iaitu motif yang dihasilkan dikaitkan dengan satu bahagian dengan bahagian lain yang boleh mengajak mata menerokai bahagian dalaman. Berkaitan dengan prinsip bersatu, lingkaran belit ialah perkara yang berkaitan dengan prinsip menyatukan, manakala prinsip berlawan merujuk kepada adanya pertentangan yang terkawal di antara dua bahagian. Akhir sekali, prinsip berlambang adalah sesuatu seni yang berkaitan dengan hiasan kerana hiasan merupakan lambang keindahan dan kecantikan yang mempunyai hubung kait antara isi (makna) dan bentuk (Zakaria Ali, 1987).

No comments:

Post a Comment