Saturday 18 May 2013

KETOKOHAN PENGARANG KARYA AGUNG

SYEIKH SYAMSUDDIN AL-SUMATRANI: PEMIKIR ILMU TASAWUF

LATAR BELAKANG TOKOH


Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri. Beliau merupakan seorang ahli sufi yang terkemuka di Nusantara. Di hujung namanya tertulis ‘as-Sumatra-i’. Pada semua manuskrip karyanya juga tertulis demikian namun semua penulis bahkan penulis yang pertama mengubahnya menjadi al-Sumatrani yang membawa maksud beliau berasal dari Sumatera Indonesia. Sebenarnya tambahan huruf ‘n’ antara huruf ‘a’ dan ‘i’ yang telah dilatinkan itu hanyalah salah penyemakan sahaja dari huruf hamzah yang ditulis sebelum huruf ya. Huruf ya yang diletakkan di belakang perkataan Sumatera itu menurut kaedah bahasa Arab ialah ya nisbah ertinya dibangsakan.

Oleh itu, Syeikh Syamsuddin al-Sumatra-i bermakna Syeikh Syamsuddin yang berasal dari Sumatera. Jika ditambah atau ditukarkan dengan ‘ni’, bermaksud nama tempat asal Syeikh Syamsuddin yang dibicarakan ini berasal dari Sumatran. Nama Sumatran memang ada disebut dalam Hikayat Ahmad Bustaman yang merupakan hikayat yang bercorak dongeng semata-mata. Menurut para sejarawan, penisbahan namanya dengan sebutan Sumatrani ataupun Pasai yang diletakkan di belakang namanya itu membuktikan bahawa adanya dua kemungkinan.  

Pertama, kemungkinan besar orang tuanya merupakan orang Pasai. Maka, dengan itu dikatakan bahawa beliau sememangnya dilahirkan dan dibesarkan di Pasai. Kedua, sekiranya beliau tidak dilahirkan di Pasai, kemungkinan beliau telah lama menetap di Pasai. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani  hidup pada abad ke 16 Masihi sehingga 17 Masihi. Beliau ialah Sheikul Islam atau mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayid al-Mukammil  pada tahun 1589 sehingga tahun 1604. Pendidikan awal Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani secara terperinci tidak dapat dikenalpasti oleh para sejarawan tetapi hal yang pasti ialah beliau merupakan anak murid kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau pernah belajar daripada Sunan Bonang, iaitu seorang wali Allah di Tanah Jawa.

Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani terkenal sebagai salah seorang pendukung kuat fahaman Martabat Tujuh yang boleh dikategorikan sebagai fahaman yang mencetuskan kontoversi. Beliau tergolong dalam kumpulan empat orang ulama agung Aceh. Beliau meninggal dunia dan di makamkan di Melaka. Beliau dipercayai telah terlibat sama ketika serangan Aceh ke atas Portugis yang dilancarkan pada tahun 1929 semasa Aceh berada di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Johan Berdaulat (1607-1636).

Tarikh wafatnya telah dicatatkan oleh musuhnya, Nuruddin ar-Raniri iaitu pada malam Isnin 12 Rejab 1039H/1630M. Selama beberapa dekad terakhir dari masa hidupnya, beliau merupakan tokoh agama terkemuka yang sangat dihormati dan disegani oleh masyarakat. Makamnya masih lagi kekal terpelihara di Kampung Ketek,  kota Melaka, Malaysia. Kampung tersebut tidak jauh daripada Masjid Kampung Hulu yang berusia hampir 300 tahun lamanya.

Menurut para sejarawan, asal usul dan latar belakang Syamsuddin al-Sumatrani agak kabur kerana tidak dicatatkan dengan terperinci oleh beliau. Hanya sebutan Sumatrani di belakangnya sahaja yang dapat membuktikan bahawa beliau berasal dari Sumatera atau Pasai. Terdapat sumber tertua yang dijumpai mengenai kisah perjalanan hidup Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Sumber yang dimaksudkan itu ialah Hikayat Aceh, Adat Aceh dan kitab Bustanul al-Salatin. Walaupun begitu, bukanlah keseluruhan perjalanan hidupnya dicatat dalam manuskrip tersebut. Hanya serpihan-serpihan data sejarah yang terbatas sahaja berjaya ditemui oleh pengkaji pada waktu itu.

HASIL KARYA

Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan seorang penulis yang sangat berkebolehan dalam menghasilkan karyanya. Karya-karya yang ditulis oleh beliau kebanyakannya dalam tulisan Arab dan bahasa Melayu (Jawi). Antara contoh hasil karya beliau ialah:
  1. Jawhar al-Haqa'iq (30 halaman; berbahasa Arab), merupakan karyanya yang paling lengkap yang telah disunting oleh Van Nieuwenhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang Martabat Tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. 
  2. Risalah Tubayyin Mulahazhat al-Muwahhidin wa al-Mulhidin fi Dzikr Allah (8 halaman; berbahasa Arab). Karya yang telah disunting oleh Van Nieuwenhuijze ini mengandung penjelasan tentang perbezaan pandangan antara kaum yang mulhid dengan yang bukan mulhid.
  3. Mir’at al-Mu'minin (70 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan ajaran tentang keimanan kepada Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, para malaikat-Nya, hari akhirat, dan qadar-Nya. Pengajaran dalam karya ini membincangkan mengenai hal-hal akidah seiring dengan fahaman Ahlus Sunnah wal Jama'ah (tepatnya Asy'ariah-Sanusiah). 
  4. Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri (24 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan terhadap 39 bait (156 baris) syair Hamzah Fansuri. Isinya antara lain menjelaskan mengenai pengertian kesatuan wujud (wahdat al-wujud).
  5. Syarah Sya'ir Ikan Tongkol (20 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini merupakan ulasan (syarh) terhadap 48 baris sya'ir Hamzah Fansuri yang mengupas mengenai soal Nur Muhammad dan cara untuk mencapai fana' daripada Allah.
  6. Nur al-Daqa'iq (9 halaman berbahasa Arab; 19 halaman berbahasa Me1ayu). Karya tulis yang sudah ditranskripsi oleh AH. Johns ini (1953) mengandungi pembicaraan tentang rahsia ilmu makrifah (Martabat Tujuh). 
  7. Thariq al-Salikin (18 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini mengandung penjelasan tentang beberapa istilah seperti kewujudan 'adam, haqq, bathil, wajib, mumkin, mumtani’ dan sebagainya.
  8. Mir’at al-Iman atau Kitab Bahr al-Nur (12 halaman; berbahasa Melayu). Karya ini membincangkan tentang ma’rifah, martabat tujuh dan tentang roh.
  9. Kitab al-Harakah (4 halaman; ada yang berbahasa Arab dan ada pula yang berbahasa Melayu). Karya ini menjelaskan mengenai ma’rifah atau martabat tujuh.

Kitab Tanbihut Thullab fi Ma'rifati Mulkil Wahhab

Kitab ini merupakan karya Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani yang di tulis dalam bahasa Arab. Dalam simpanan penulis sendiri kitab ini merupakan manuskrip salinan al-Haji Muhammad Mustahyi yang disalinnya semasa berada di Pontianak pada tahun 1254H. Antara hasil karya Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani yang boleh didapati dalam kitab ini ialah:

BIL
TAJUK
1
Jawahirul Haqaiq
2
Risalatul Baiyin Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah
3
Kitabul Khirqah
4
Nurud Daqaiq
5
Mir-atul Iman
6
Mir-atul Mu’minin
7
Syarah Mir-atil Qulub
8
Mir-atul Haqiqah
9
Mir-atul Muhqqiqin
10
Risalah Jawami’il ‘Amal
11
Anwarud Daqaiq fi Kasyfi Asrarir Raqaiq
12
Da-iratul Wujud
13
Risalah Kasyfi Asraril Wujud
14
Bayanul Qulub
15
Risalah Pada Menyatakan A‘yan Tsabitah
16
Risalah Mitsalil Wujud
17
Risalah Pada Menyatakan Kelebihan Insan Daripada Sekalian Alam Yang Lain.
18
Kasyfu Sirrir Rububiyah fi Kamalil ‘Ubudiyah
19
Risalah Masa-il ‘llmil Haqiqah
20
Haqiqah as-Shufi
21
Haqqul Yaqin fi ‘Aqidatil Muhaqqiqin fi Zikri As-raris Shufiyinal Muhaqqiqin
22
Syarah Ruba’i Syeikh Hamzah al-Fansuri
23
Taukidul ‘Uqud



































PERANAN DAN PENGARUH 

Berbicara tentang peranan Sumatera yang berfungsi sebagai pusat pengajaran dan perkembangan Islam, negeri Pasai sememangnya lebih dahulu terkenal daripada Banda Acheh. Samudera Pasai lebih terkemuka sekitar abad ke-14 dan 15M iaitu sebelum kerajaan Pasai dikuasai oleh Portugis pada tahun 1514M. Pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1589-1604), Syamsuddin al-Sumatrani menjadi orang kepercayaan Sultan Acheh. Syamsuddin Sumatrani merupakan orang kedua terpenting dalam kerajaan Acheh selepas sultan.

Beliau mempunyai kedudukan sebagai jururunding dalam urusan ekonomi dan politik luar negeri kerajaan Acheh Darussalam. Beliau mempunyai hubungan yang sangat erat dengan pemerintah kerajaan Acheh. Namun begitu, dalam kitab Bustan al-Salathin tidak dinyatakan dengan lebih terperinci mengenai perjalanan Syamsuddin al-Sumatrani sehingga beliau menjadi seorang ulama yang paling dipercayai dalam lingkungan istana kerajaan Acheh selama tiga atau empat dekad.

Syamsuddin al-Sumatrani merupakan tokoh agama terkemuka yang dihormati dan disegani oleh masyarakat setempat. Sebagaimana pada waktu dahulu Syeikh Hamzah al-Fansuri pernah mempunyai pengaruh kepada Sultan Iskandar Muda demikian juga halnya dengan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Sebarang urusan yang melibatkan pentadbiran istana, Sultan Iskandar Muda akan menyuruh Syamsuddin Sumatrani untuk melaksanakannya.

Syamsuddin Sumatrani merupakan satu dari empat ulama yang paling terkemuka. Beliau mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan berperanan besar dalam sejarah pembentukan dan perkembangan keintelektualan keislaman di Aceh sekitar abad ke-l7 dan beberapa dekad sebelumnya. Keempat-empat ulama tersebut ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin Sumatrani, Nuruddin Raniri, dan Abdur Rauf Singkel. Hubungan Hamzah Fansuri dengan Syamsuddin Sumatrani diperkukuhkan dengan adanya dua buah karya tulis Syamsuddin Sumatrani yang merupakan ulasan (syarah) terhadap pengajaran Hamzah Fansuri. Kedua-dua buah karya tersebut ialah Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri dan Syarah Syair Ikan Tongkol.

Mengenai hubungannya dengan Nuruddin ar-Raniri, hal ini tidak dapat diketahui dengan jelas dan pasti. Tujuh tahun selepas kewafatan Syamsuddin Sumatrani, Raniri diangkat menjadi mufti Kerajaan Acheh pada tahun 1637M oleh Sultan Iskandar Tsani. Hal ini berlaku disebabkan fatwanya yang memutarbelitkan fahaman wahdatul wujud yang dipelopori oleh Syamsuddin Sumatrani. Situasi ini menyebabkan para pengikut Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumatrani dihukum oleh pihak penguasa dengan hukuman bunuh. Namun begitu, para pengikut fahaman Sumatrani ternyata tidak musnah sepenuhnya.

Pada akhir tahun 1644, Raniri telah disingkirkan daripada kedudukannya selaku mufti kerajaan Acheh Darussalam. Beliau terpaksa pulang ke Ranir, Gujerat. Sebagai penggantinya, Sultan Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675) kemudiannya mempercayakan jabatan mufti kerajaan kepada Saifur Rijal. Saifur Rijal merupakan seorang Minang yang juga penganut fahaman wahdatul wujud. Pada waktu itu, beliau baru pulang dan kembali ke Acheh dari kawasan pedalaman kajian agama di India. Dengan demikian, fahaman tasawuf Syamsuddin Sumatrani kembali mewarnai corak keislaman di kerajaan Acheh Darussalam.

Walaupun Syeikh Nuruddin ar-Raniri merupakan musuh paling ketat bagi Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani namun beliau tetap mengakui keulamaan Syamsuddin Sumatrani seperti mana yang dikatakan oleh beliau “syahadan pada masa itulah wafat Syeikh Syamsuddin ibnu Abdullah as-Sumatra-i pada malam Isnin 12 Rejab pada tahun 1039 tahun (Hijrah). Syeikh itu sangat alim pada segala ilmu dan dialah yang termasyhur pengetahuannya pada tasawuf dan beberapa kitab yang ditakrifkannya”.

Peninggalan pengaruh Syamsuddin Sumatrani terbukti sangat dominan bahkan sehingga ke hari ini. Sebagai mufti, penasihat agung dan al-malikul Qadli yang aktif pada dua zaman pemerintahan yang di dalam hikayat Acheh digelar sebagai Syaikhul Islam ini, beliau merupakan seorang ulama tasawuf yang dapat menembusi batas keilmuan. Walaupun beliau mempunyai pemikiran yang bijaksana dalam urusan politik di dalam dan luar negeri, teguh berjihad fi sabilillah dalam memerangi penjajah, dan mahir dalam ilmu keagamaan namun apabila berada dalam kalangan pembesar istana, beliau tetap menjalani kehidupannya sebagai seorang pengamal ilmu tasawuf.

SUMBANGAN

Sumbangan pemikiran Islam dalam peradaban Melayu Nusantara sangat besar. Hal ini jelas terbukti dengan adanya kitab-kitab yang dihasilkan dan telah menjadi sumber inspirasi dan rujukan dalam kehidupan manusia sejagat. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani merupakan seorang mufti besar yang dimiliki oleh Melayu Nusantara telah menandai peradaban Melayu Nusantara dengan catatan tinta emas. Pemikiran beliau sangat diperlukan untuk membangunkan peradaban Melayu Nusantara. Buktinya semasa beliau menjadi mufti di Aceh, negara tersebut telah melalui zaman yang gemilang semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda.

Bagi membuktikan bahawa Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani adalah penyambung aktiviti dan tanggungjawab menyebarkan ajaran gurunya iaitu Syeikh Hamzah Fansuri, beliau telah mengulas atau menjelaskan karya Syeikh Hamzah al-Fansuri yang berjudul Ruba’I Syeikh Hamzah al-Fansuri. Kita telah mengenali karya penting ini melalui transliterasi yang dilakukan oleh A. Hasymi dan lengkap dengan manuskrip Melayu Jawinya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa  dan Pustaka pada tahun 1976.

Karya beliau banyak yang telah disenaraikan oleh ramai orang sebelum ini. Terdapat juga karya beliau yang telah dimuatkan dalam buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik. Dua buah karyanya yang berjudul Tanbihut Thullab dan Anwarud Daqaid serta data-datanya telah dimasukkan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1. Data lengkap keseluruhan karya Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani telah dimuatkan dalam buku judul yang sama iaitu dalam jilid 3. Kesemua 12 judul karya beliau sebelum ini telah dijadikan koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia.

Kitab Jawahirul Haqaiq yang mempunyai 30 halaman dan ditulis dalam bahasa Arab merupakan karya beliau yang paling lengkap. Karya ini telah disunting oleh Van Nieuwhuijze. Kitab ini menyajikan pengajaran tentang martabat tujuh dan jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Risalah  Risalatul Baiyin Mulahazatil Muwahhidin ‘alal Muhtadi fi Zikrillah, lapan halaman dan berbahasa Arab ini juga merupakan karya yang disunting oleh  Van Nieuwhuijze. Risalah ini menerangkan tentang perbezaan pandangan kaum mulhid dengan kaum bukan mulhid.

Mir-atul Mu’minin pula yang berbahasa Melayu telah disunting oleh  Van Nieuwhuijze ini menjelaskan ilmu tentang keimanan kepada Allah, para rasul, kitab-kitab, para malaikat, hari akhirat dan qada’ qadarnya. Jadi pengajaran dalam karya ini membicarakan hal-hal akidah yang diamalkan oleh ahli sunnah wal jamaah. Syarah Ruba'i Hamzah Fansuri 24 halaman yang berbahasa Melayu ini merupakan ulasan daripada 39 bait atau 156 baris syair Hamzah Fansuri. Isinya menjelaskan tentang pengertian kesatuan yang wujud (wahdat al-wujud).
  
GAGASAN PEMIKIRAN

Pemikiran tasawuf di Acheh banyak berkait dengan pemikiran-pemikiran tasawuf di wilayah-wilayah Nusantara baik dari aspek sejarah mahupun kaedah pemikirannya. Dari aspek sejarah banyak terbukti bahawa tokoh-tokoh sufi Acheh inilah yang kemudiannya menyebarkan dan membentuk jaringan-jaringan ke seluruh Nusantara. Manakala, dari aspek kaedah pula, pemahaman tasawuf di Acheh mempengaruhi daerah-daerah lain yang cenderung kepada isi dan corak pemikiran tasawuf.

Tauhid merupakan ajaran utama Syeikh Syamsuddin, iaitu ajaran mengenai kewujudan Tuhan yang esa. Beliau merupakan penganut fahaman wahdat al-wujud Ibnu Arabi dan terkenal sebagai salah seorang tokoh terkemuka kaum wujudiyyah di Aceh. Istilah wahdat al-wujud  itu sendiri sebenarnya bukan diberikan oleh Ibnu Arabi sendiri. Maknanya, Ibnu Arabi tidak pernah menyatakan bahawa sistem pemikiran ilmu tasawuf itu merupakan fahaman wahdat al-wujud . Semasa Acheh sedang mengalami kemuncak kejayaannya, mazhab tasawuf Ibnu Arabi ini telah mendominasi pemikiran dan penghayatan keagamaan dalam istana dan dalam kalangan masyarakat umum.

Ajaran tasawuf fahaman wujudiyyah memperoleh kemajuan yang sangat pesat dan dianut oleh semua lapisan golongan masyarakat. Melalui kitab-kitab dan sejumlah muridnya, ajaran tasawuf wujudiyyah menjadi ajaran normal dan mendapat galakan daripada masyarakat Acheh sendiri. Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani mengatakan bahawa tidak ada sesuatu pun yang wujud kecuali Tuhan. Pandangan tidak ada mawjud selain Tuhan dalam pengajaran Syeikh Syamsuddin ini disebut sebagai ajaran tauhid murni atau tauhid hakiki (al-tawhid al-khalis).

Seperti halnya dengan Ibnu Arabi, pemahaman mengenai mawjud selain Tuhan, menekankan pemanduan antara tanzih dan tasybih Tuhan. Apabila dilihat dari sudut tanzih, Tuhan harus disucikan daripada kesetaraan dan kesamaan penuh dengan alam ciptaannya. Tuhan jelas berbeza dengan alam semesta kerana Tuhan adalah Dzat Mutlak yang tidak terbatas yang berada di luar alam yang nisbi ini. Manakala, dari sudut tasybihnya harus diyakini bahawa adanya kemiripan yang tidak penuh antara Tuhan dan ciptaanNya. Dengan kata yang lain, Tuhan ialah identik atau lebih tepat serupa dan satu dengan alam walaupun kedua-duanya tidak setara kerana segala sesuatu selain Tuhan tidak ada pada diriNya sendiri melainkan hanya ada manifestasi wujudnya Tuhan.

Perbicaraan mengenai Martabat Tujuh sebenarnya dimulai oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri, turun kepada Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani, turun kepada Syeikh Abdur Raud bin Ali al-Fansuri, kemudiannya turun kepada Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dan yang lain-lainnya. Kemudiannya disokong oleh beberapa orang ulama Asia Tenggara yang lainnya. Antaranya ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di beberapa halaman Siyarus Salikinnya, bahkan beliau turut mengiktiraf karya-karya Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani yang beliau kategorikan ke dalam ajaran tasawuf peringkat Muntahi (peringkat tinggi).

Tulisan mengenai Martabat Tujuh juga dilakukan oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang sangat jelas dalam dua buah karyanya iaitu Ad-Durrun Nafis dan Majmu’ul Asrar. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak membantah mengenai konsep Martabat Tujuh ini tetapi beliau menjelaskan bahawa rumus-rumus perkataan sufi yang bercorak syathahiyat itu dalam karyanya Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi dan sebuah lagi karya beliau mengenai tasawuf yang tidak sempat beliau namakan judulnya. Tasawuf yang tidak berjudul itu sampai sekarang hanya ditemui dalam dua salinan sahaja iaitu sebuah salinan tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia dan sebuah salinan lagi menjadi koleksi peribadi penulis sendiri.

Konsep Martabat Tujuh lebih cenderung dan mempunyai kaitan dengan teori Tanazzul dalam ajaran tasawuf. Tanazzul diertikan sebagai turunnya Wujud dengan penyingkapan Tuhan dari alam ghaib ke alam penampakan melalui beberapa tingkat perwujudan. Teori ini menggambarkan bahawa manusia sebagai makhluk yang sempurna dan merupakan pancaran daripada Wujud Sejati yang menurunkan Wujud-WujudNya alam rohani ke dalam alam semesta. Terdapat empat falsafah yang dapat disimpulkan yang mendasari fahaman wahdat al-wujud atau wujudiyyah iaitu:

  • Kepercayaan bahawa Tuhan berada dalam kandungan alam ini.
  • Kepercayaan bahawa nyawa itu bukan khaliq dan bukan makhluk.
  • Kepercayaan bahawa al-Quran itu makhluk.
  • Kepercayaan bahawa nyawa berasal daripada Tuhan dan akan kembali kepadaNya.

Daripada hasil penelitian WC. Chittik, Sadr al-Din al-Qunawi merupakan orang pertama yang menggunakan istilah wahdatul wujud, cuma beliau tidak menggunakannya sebagai suatu teknik yang khusus. Selain al-Qunawi, terdapat ramai tokoh-tokoh lain yang menggunakan istilah wahdatul wujud. Namun, tokoh yang paling besar peranannya dalam mempopularkan istilah ini ialah Taqi al-Din Ibn Taymiyyah. Beliau merupakan pengecam keras ajaran Ibnu Arabi dan para pengikutnya. Pengajaran Syamsuddin Sumatrani tentang Tuhan dengan corak fahaman wahdatul wujud dapat dikenalpasti daripada pembicaraannya menegnai kalimat tauhid la ilaha illallah yang secara harfiah bererti tiada Tuhan selain Allah.

Beliau menjelaskan bahawa kalimat tersebut bagi salik iaitu penempuh jalan tasawuf tingkat pemula (al-mubtadi) difahami dengan pengertian bahawa tidak ada ma’bud (yang disembah) kecuali Allah. Sementara itu, bagi salik yang sudah berada pada tingkat menengah (al-mutawassith), kalimat tauhid tersebut difahami dengan pengertian bahawa tidak ada maksud yang dikehendaki kecuali Allah. Bagi salik yang berada pada tingkat penghabisan (al-muntaha) pula, kalimat tauhid tersebut difahami dengan pengertian bahawa tidak ada yang wujud kecuali Allah.

Namun, terdapat perbezaan prinsip antara fahaman wahdatul wujud dari penganut tauhid yang benar (al-muwahhidin al-shiddiqin) dengan fahaman wahdatul wujud dari kaum zindiq penganut panteisme. Apabila dilihat daripada satu aspek, kedua-dua pihak tersebut sememangnya nampak mempunyai pendapat yang sama dalam menetapkan makna kalimat tauhis la ilaha illallah iaitu tiada wujud selain Tuhan kerana yang wujud segenap alam ialah bersifat bayang-bayang atau majazi tetapi sebenarnya kedua-dua belah pihak mempunyai fahaman yang sangat berbeza.

Bagi kaum panteisme yang sesat ini, mereka memahami kalimat tauhid tersebut sebagai kewujudan Tuhan sebenarnya tidak ada kecuali dalam pengertian wujudnya alam semesta ini. Jadi, bagi kalangan panteisme, seluruh alam merupakan kewujudan Tuhan dan kewujudan Tuhan adalah wujudnya alam. Mereka menetapkan satu kesatuan hakikat tanpa membezakan antara martabat Tuhan dengan martabat alam. Fahaman tersebut menurut Syamsuddin Sumatrani merupakan fahaman yang batil dan ditolak mentah-mentah oleh para penganut tauhid yang benar.

Bagi Syamsuddin Sumatrani sebagaimana fahaman Ibnu Arabi, keesaan wujud bermaksud tidak ada sesuatu pun yang memiliki kewujudan yang sebenar kecuali Tuhan. Sementara alam atau segala sesuatu yang diciptakan oleh Tuhan ada kerana diwujudkan (maujud) oleh Tuhan. Apabila dilihat dari segi kewujudannya dengan diri sendiri, alam itu dikatakan tidak ada (ma’dum) tetapi jika dilihat dari segi kewujudannya kerana wujudnya Tuhan maka jelaslah bahawa alam ini sebenarnya wujud (maujud).

Dengan demikian, martabat Tuhan sangat berbeza dengan martabat alam. Perkara ini telah dihuraikan sendiri oleh Syamsuddin Sumatrani dalam ajarannya mengenai martabat tujuh iaitu kewujudan satu dengan tujuh martabatnya. Ketujuh-tujuh martabat tersebut terdiri daripada martabat ahadiyyah, martabat wahdah, martabat wahidiyyah, martabat alam al-arwah, martabat alam al-mitsal, martabat alam al-ajsam dan martabat alam al-insan.

Martabat pertama dikenali sebagai ahadiyyah yang bermaksud hakikat Allah Taala, martabat Dzat Allah Taala yang diacukan semata-mata kemutlakan Dzat Allah. Martabat kedua iaitu wahdah merupakan emanasi yang kedua sehingga konsep diri (Dzat) membawa maksud hakikat Muhammad iaitu bermakna hakikat Allah. Martabat ketiga iaitu wahidiyyah bermaksud hakikat insan dan Adam ‘alaihi al-Salam dan sekalian umat iaitu bernama asma Allah Taala. Martabat ini lebih rendah dari kemungkinan kewujudan manusia.

Martabat keempat yang disebut sebagai alam al-arwah dinamakan sebagai Nur Muhammad bermaksud martabat hakikat segala nyawa. Manakala, martabat kelima iaitu alam al-mitsal ialah martabat segala rupa dan diibaratkan kehalusan. Martabat keenam disebut sebagai alam al-ajsam iaitu martabat segala tubuh yang terdiri daripada komponen angin, air, tanah dan api. Martabat yang ketujuh ialah alam al-insan yang merujuk kepada martabat hakikat segala manusia dan menghimpunakan segala perkara yang disebutkan sebelumnya.

Perkara paling penting mengenai konsep ini ialah martabat ahadiyyah, wahdah dan wahidiyyah yang merupakan anniyyat Allah Taala manakala martabat alam alam al-arwah, alam al-mitsal, alam al-ajsam dan alam al-insan merupakan martabat anniyyat al-makhluk. Oleh hal yang demikian, tiga martabat pertama ialah qadim (dahulu tanpa permulaan) dan baqa (kekal tanpa kesudahan) sedangkan empat martabat yang berikutnya disebut sebagai muhdats (yang diciptakan/dijadikan). Jelaslah bahawa martabat ketuhanan merujuk kepada tiga martabat yang pertama dan martabat alam atau makhluk lebih kepada empat martabat yang berikutnya. Konsep martabat tujuh ini banyak difahami dan dihayati oleh para pengikutnya hingga ke generasi-generasi yang berikutnya.













No comments:

Post a Comment