Sunday 19 May 2013

STRATA SOSIAL MASYARAKAT


Strata Sosial Masyarakat
Apabila membicara atau menggambarkan perihal sistem masyarakat Melayu tradisional ia merupakan satu perbincangan pensejarahan atau kehidupan kemasyarakatan yang tidak boleh dipisahkan dari merujuk kepada zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Titik tolak permulaan pada zaman ini kerana telah wujudnya sebuah kerajaan yang dapat membentuk sebuah masyarakat Melayu yang mempunyai sistem dan strukturnya tersendiri. Apa yang lebih dipentingkan lagi ialah keupayaan sesetengah dari sistem dan struktur tersebut telah dapat dikekalkan dan diterima pakai sehingga ke hari ini. Sama ada masyarakat Melayu Tradisional  sebelum dari zaman KMM sudahpun mempunyai tradisi-tradisinya, perbincangan ini tidaklah memberikan tumpuan kepada persoalan itu kerana telah banyak diperbincangkan oleh sarjana dan di luar skop penulisan modul ini.


Masyarakat Melayu Tradisional (MMT) merupakan satu istilah. Pendefinisiannya haruslah merujuk kepada siapa itu orang Melayu dan zaman tradisi yang diwakilinya. Secara umumnya, MMT boleh ditakrifkan sebagai satu gambaran orang Melayu yang mengamalkan sesuatu adat istiadat (kebiasaan) yang telah sebati dan kekal secara turun temurun dalam kehidupan mereka. Ini memberi erti bahawa mereka tidak begitu terpengaruh dengan perubahan dan suasana sekeliling. Dalam erti kata lain, perubahan diterima dengan penyesuaian keadaan setempat. Dengan ini unsur-unsur tradisi dari segi politik, ekonomi dan sosial yang ada pada masyarakat Melayu dapat dikekalkan sepanjang zaman.       

                                          
Golongan yang memerintah
1. Raja atau sultan
Raja atau sultan merupakan asas terpenting dalam susun lapis masyarakat Melayu tradisional. Baginda mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam piramid organisasi sosial. Baginda mempunyai kuasa dan wibawa yang paling tinggi bagi memerintah seluruh negeri dan jajahan taklukannya. Baginda dianggap sebagai dewa raja dan baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat dan merupakan orang yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan memajukan negeri. Seseorang raja dilantik melalui pertabalan di atas persetujuan semua pembesar dan biasanya putera sulong atau adik lelaki raja yang akan menggantikan raja yang mangkat.


2. Kerabat raja
Raja sebagai seorang pemimpin, maka dirinya serta keluarganya akan dihormati oleh masyarakat malah kadang-kala rasa penghormatan ini diseliputi oleh perasaan sakral yang tinggi. Mereka dianggap sebagai suci dan amat berbeza dengan golongan rakyat biasa. Mereka juga mempunyai hak-hak istimewa, namum hak mereka adalah tidak boleh melebihi hak istimewa seseorang sultan yang memerintah. Antara keistimewaan yang dinikmati oleh kerabat raja ialah mengguna payung berwarna kuning dan penggunaan bahasa dalaman.


3. Bangsawan dan pembesar
Bangsawan juga dikenali sebagai anak baik-baik. Mereka menggunakan bahasa dalaman untuk mengekalkan identiti mereka.Golongan bangsawan ini terdiri daripada kerabat diraja dan bukan kerabat raja. Mereka adalah berpengaruh di kalangan pemerintah dan pentadbir. Mereka bertanggungjawab mengandalikan jentera pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar pula merupakan golongan yang mempunyai kedudukan yang hampir sekali dengan sultan. Biasanya, golongan ini terdiri daripada bukan kerabat raja. Golongan ini akan dianugerahkan suatu kawasan yang menjadi pegangannya dan sumber pendapatannya di mana seseorang pembesar itu dibenarkan mengutip cukai dan mengawal tenaga manusianya. Biasanya mereka dilantik secara turun-temurun.
Golongan yang diperintah
1. Hamba
Dalam masyarakat Melayu, golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang paling bawah. Golongan ini dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu :
a. Hamba raja
Hamba raja terdiri daripada mereka yang menawarkan diri untuk menjadi hamba di istana. Mereka melakukan semua jenis pekerjaan dan taraf mereka juga lebih tinggi kalau dibandingkan dengan hamba yang lain. Terdapat juga bekas tahanan perang atau banduan yang menjadi hamba raja.


b. Hamba berhutang
Hamba berhutang ini terdiri daripada rakyat biasa yang gagal membayar hutang kepada pemiutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Hamba ini juga disebut sebagai masuk hulun. Mereka yang menjadi hamba berhutang terpaksa bersama isteri dan anak-anaknya tinggal bersama si pemiutang dan bekerja sehingga hutang dibayar. Walau bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.
c. Hamba biasa
Hamba biasa menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-temurun. Mereka dapat digolongkan kepada tiga jenis iaitu hamba abdi yang membuat kerja yang berat dan kasar. Dengan merupakan hamba yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja.
Adat Istiadat
Adat adalah merupakan peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun sejak dahulu kala di dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi serta merujuk kepada tatacara yang sudah menjadi satu kebiasaan dan sifat.
Istiadat  pula bermaksud peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan di dalam majlis rasmi untuk menyambut sesuatu peristiwa seperti perkahwinan, pertabalan dan sebagainya. Istilah adat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Tetapi apabila istilah ini diinterpretasikan di dalam bahasa Melayu, ia telah memberi makna yang lebih meluas dan mendalam sehingga secara tradisi ia dapat disamakan dengan kebudayaan. Konsep adat dalam masyarakat Melayu bukan membawa maksud istiadat atau upacara sahaja, tetapi sistem hidup yang nenyeluruh sama ada dari segi sosial, kepercayaan dan perundangan.      
Masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, khususnya masyarakat Melayu Negeri Sembilan beranggapan bahawa adat Melayu itu terdiri daripada dua jenis iaitu Adat Perpatih (yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan Naning di Melaka) dan Adat Temenggung (yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di semua negeri Semenanjung Malaysia kecuali Negeri Sembilan).

Adat Temenggung

Asal Usul
Adat Temenggung diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan dan dibawa masuk ke Melaka dari Palembang pada awal abad ke-15. Adat ini diamalkan di semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Naning yang mengamalkan adat perpatih.
Ciri-Ciri
Adat Temenggung lebih mementingkan nasab keturunan sebelah lelaki. Anak lelaki mempunyai hak yang lebih dalam soal mewarisi harta pusaka kerana kaum lelaki mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga.
Kekeluargaan dan Perkahwinan
Dalam adat temenggung, perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Larangan dalam perkahwinan mengikut hukum syarak berlaku sekiranya berkahwin dengan orang yang mempunyai pertalian darah dan orang yang bukan beragama Islam. Mengikut Adat Temenggung, aturan perkahwinan tidak disyaratkan di luar daripada sukunya.
Pembahagian Harta
Bagi Adat Temenggung, harta merupakan milik individu. Segala proses pemindahan harta dan pertukaran hak milik akan ditentukan oleh pemilik harta itu sendiri. Anak lelaki berhak mewarisi harta pusaka dengan nisbah 2/3 berbanding anak perempuan 1/3 sahaja daripada bahagian tersebut. Hal ini berlaku kerana tanggungjawab anak lelaki lebih besar kerana mereka yang akan menggantikan tugas bapa untuk menjaga keluarga nanti.
Perundangan
Dalam adat temenggung, undang-undang jenayah lebih bersifat tegas. Hukuman ke atas pembunuhan ialah balasan bunuh. Raja ataupun sultan berkuasa mutlak untuk menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah. Hukuman yang diberikan bertujuan untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada orang lain dan sebagai balasan di atas perbuatan si pesalah. Dalam kes yang melibatkan jenayah, kehadiran saksi amat dititikberatkan supaya tidak berlaku unsur ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman. Contohnya, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Pahang.
Sistem Pemerintahan
Pemerintahan dalam adat temenggung bersifat autokratik iaitu kuasa terletak ditangan pemerintah. Kuasa pemerintahan baginda diperkukuhkan dengan adanya konsep daulat dan derhaka. Sesiapa yang didapati menderhaka kepada baginda akan mendapat tulah. Raja menggunakan warna tertentu seperti warna kuning selain menggunakan bahasa-bahasa istana seperti bersantap dan beradu. Penggunaan warna dan bahasa istana menunjukkan bahawa kedudukan raja dianggap paling mulia dalam hierarki politik.
Raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak untuk melantik pembesar sama ada di peringkat negeri, jajahan, mukim mahupun kampung. Jawatan sultan bersifat warisan iaitu hanya putera sulungnya sahaja yang layak dilantik untuk menggantikan takhta selepas kemangkatan baginda. Sekiranya baginda tidak mempunyai anak lelaki, takhta tersebut berhak diwarisi oleh adik lelaki sultan. Pembesar mempunyai peranan yang sangat penting bagi membantu melancarkan proses pemerintahan. Rajah 1.0 menunjukkan hierarki politik dalam hukum Adat Temenggung.  
     
Adat Perpatih

Asal Usul
Adat Perpatih berasal dari Tanah Minangkabau, Sumatera. Adat ini diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sultan Balum yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang. Adat ini merupakan amalan dan peraturan hidup yang ditentukan oleh masyarakat Minangkabau. Adat Perpatih dibawa masuk ke Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke-14 Masihi. Di Malaysia, adat ini diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagiannya dari Melaka terutamanya Masjid Tanah.

Ciri-ciri
Adat Perpatih mementingkan nasab keturunan sebelah ibu. Kaum wanita mempunyai kedudukan yang lebih berbanding kaum lelaki. Mereka mempunyai hak dan keutamaan dalam hal pewarisan harta pusaka kerana kaum wanita dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota masyarakat. Seseorang individu itu merupakan anggota suku ibunya.
Kekeluargaan dan Perkahwinan
Adat Perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti biduanda dan paya kumbuh. Dari segi perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Dalam sesuatu suku, hubungannya sangat rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam sukunya sebagai saudara perempuannya. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
      Apabila berlaku perkahwinan, si suami akan meninggalkan keluarganya kerana mengikut si isteri untuk tinggal bersama di rumah pusaka atau rumah sendiri yang dibina berhampiran dengan rumah pusaka ibu si isteri. Sekiranya berlaku penceraian ataupun si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal.
Pembahagian Harta
Pembahagian harta pusaka akan diwarisi oleh anak perempuan yang menjadi asas wujudnya suku. Sebenarnya, pemberian harta pusaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang sesebuah keluarga. Tanah adat sebagai simbol untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita. Maksudnya, seorang wanita Adat Perpatih walau betapa miskin, dia tidak akan merempat untuk meneruskan kehidupan.
            Terdapat empat jenis pembahagian harta dalam Adat Perpatih iaitu harta pusaka, harta sepencarian, harta dapatan dan harta pembawaan. Harta sepencarian merupakan harta yang diperoleh oleh pasangan sepanjang perkongsian hidup. Jika berlaku penceraian, harta tersebut akan dibahagi dua secara sama adil. Harta dapatan, harta sedia ada pada isteri sebelum berkahwin. Jika berlaku penceraian, harta itu akan kekal di tangan si isteri manakala harta pembawaan ialah harta yang dimiliki oleh suami sebelum berkahwin. Bekas isteri tidak boleh menuntut harta tersebut. Harta tersebut hanya akan diwarisi oleh anak perempuannya sahaja sekiranya lelaki tersebut meninggal dunia.
Perundangan
Dalam Adat Perpatih, undang-undang jenayah lebih bersifat menyedarkan manusia. Yamtuan Besar dan Undang sahaja yang layak untuk menjatuhkan hukuman bunuh. Manakala, Buapak dan Lembaga berhak menjatuhkan hukuman yang lain. Hukuman dalam Adat Perpatih lebih bertimbang rasa kerana ganti rugi akan mengikut tahap pemberatan kesalahan yang dilakukan. Contohnya, mangsa kecurian akan memperoleh kembali gantian barangnya.
Sistem Pemerintahan
Hukum Adat Perpatih bersifat demokratik iaitu kuasa akan dibahagikan antara Undang, Lembaga, Buapak, dan anak buah. Pemilihan ketua dilakukan mengikut persetujuan ketua yang berada di setiap peringkat. Anak buah memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga,  Lembaga memilih Undang dan Undang melantik Yamtuan Besar. Keputusan yang dibuat oleh Yamtuan Besar mestilah berdasarkan keputusan bersama dengan Undang. 



No comments:

Post a Comment