Sunday 19 May 2013

FRASA DAN KLAUSA


Frasa Dan Klausa

1.                  Penggunaan Ayat yang Panjang, Berulang-Ulang dan Berbelit-Belit
Penggunaan ayat yang panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan ciri utama yang membezakan bahasa Melayu Klasik dengan bahasa Melayu Moden dari sudut sintaksis. Selain dari itu, ayat-ayat yang terkandung di dalam bahasa Melayu Klasik juga dianggap meleret-leret terutama sekali apabila menerangkan sesuatu perkara. Ciri yang membezakan bahasa Melayu Klasik dengan bahasa Melayu Moden ini dapat dikesan melalui beberapa baris ayat yang terkandung di dalam Hikayat Hang Tuah.

Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan - datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari keinderaan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 6)

Contoh ayat di atas, jelas mengambarkan kepada kita bahawa ayat-ayat yang terkandung di dalam bahasa Melayu Klasik adalah terdiri daripada ayat yang panjang strukturnya. Bagi contoh ayat di atas ianya menggunakan sebanyak lima puluh tujuh patah perkataan dalam satu ayat. Bilangan perkataan tersebut jelas membuktikan kepada kita bahawa ayat-ayat yang terkandung di dalam bahasa Melayu Klasik adalah terdiri daripada ayat yang panjang strukturnya.

2.                  Penggunaan Ayat Pasif dan Songsang
Selain daripada penggunaan ayat yang berulang-ulang, ciri-ciri lain yang turut dikesan dalam bahasa Melayu Klasik ialah terdapatnya pendepanan predikat dalam sesuatu ayat yang digunakan. Pendepanan predikat dalam ayat ini juga disebut sebagai penyongsangan ayat. Terdapat pelbagai-bagai jenis pendepanan predikat ini antaranya adalah :

a. pendepanan predikat kata kerja
b. pendepanan objek
c. pendepanan kata pelengkap

Hal yang sedemikian berlaku berpunca daripada pengaruh nahu bahasa Arab yang terdapat di dalam bahasa Melayu Klasik itu sendiri. Antara contoh-contoh ayat yang menunjukkan ciri-ciri penyongsangan ayat adalah seperti yang berikut :

Setelah sudah bermuat maka nakoda itu pun turunlah keperahunya lalu berlayar ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 13)
Hatta, beberapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 13)
Berapa antaranya maka dilihat oleh Hang Tuan dari jauh, maka kelihatan perahu belayar tiga buah menuju perahu mereka itu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 37)

3.                  Penggunaan Kata Pangkal Ayat
Selain daripada ciri-ciri yang telah dibincangkan, aspek lain  bahasa Melayu Klasik  adalah mengenai penggunaan kata pangkal ayat. Bahasa Melayu Klasik banyak menggunakan kata pangkal ayat atau disebut sebagai perdu perkataan. Antara perdu perkataan yang sering digunakan dalam hasil karya yang menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun dan sebagainya.
Penggunaan kata pangkal ayat ini turut terdapat dikesan pada Hikayat Hang Tuah. Antara contoh kata pangkal ayat yang digunakan adalah seperti berikut :

Syahadan maka paduka ayahanda bonda pun terlalu amat kasih akan anakanda baginda itu. Hatta berupa lamanya maka Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggan pun besarlah, makin besar makin bertambah baik rupanya. Hatta beberapa raja-raja hendak meminang dia, tiada juga diberikan oleh ayahanda bonda baginda.

Penggunaan kata pangkal ayat ini dilihat tidak memberi sebarang fungsi atau makna dalam sesebuah ayat yang diwakilinya. Sekiranya ia tidak digunakan atau diabaikan, makna sesebuah ayat tidak akan berubah.

4.                  Penggunaan Gaya bahasa
Gaya bahasa melibatkan cara dan ayat seseorang pengarang menyampaikan buah fikiran dan pandangannya sendiri. Antara gaya bahasa bagi karya bahasa Melayu Klasik adalah seperti berikut :
a. bahasa kiasan / perbandingan
b. bahasa pertentangan
c. penggunaan peribahasa
d. penggunaan pantun

a)                  Gaya Bahasa Kiasan
Salah sebuah karya bahasa Melayu Klasik iaitu Hikayat Hang Tuah didapati banyak menggunakan bahasa kiasan bagi mengambarkan tindak tanduk watak ataupun sesuatu benda. Dengan adanya penggunaan bahasa kiasan ini gambaran sesuatu peristiwa dapat di sampaikan dengan jelas dan menarik. Peristiwa-peristiwa yang melibatkan penggunaan bahasa kiasan ini ialah :
a. Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :

... rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 43)

b. Pelanduk Putih yang menerajang anjing Raja Melaka ke dalam sungai itu digambarkan:

… seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 67)

c. Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,

… bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, berkilau-kilauan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah,halaman 111)

b)                 Gaya Bahasa Pertentangan
Salah satu ciri yang membezakan ayat bahasa Melayu Klasik dengan ayat bahasa Melayu Moden adalah gaya bahasa pertentangan sering digunakan. Salah satu ciri yang membezakan ayat bahasa Melayu Klasik dengan ayat bahasa Melayu Moden adalah wujudnya gaya bahasa pertentangan. Gaya bahasa pertentangan sebenarnya bertujuan untuk mencela, mengkritik dan meyakiti hati seseorang. Biasanya gaya bahasa pertentangan ini wujud dalam pertuturan dan penulisan bahasa Melayu Klasik. Kata-kata kritikan tersebut biasanya ditujukan oleh seseorang penutur kepada watak yang lain.
Menerusi Hikayat Hang Tuah beberapa ayat yang menggunakan gaya bahasa pertentangan telah dikenal pasti. Antaranya ialah:

“Cis? Si Tuah itu hendak menunjukkan laki-lakinya kepadaku? Tetapi Si Tuah itu bukan padanku; padanku Raja Melaka juga. Adapun pertikamanku yang empat ribu ini kuamuk di dalam negeri Melaka itu sejam lamanya; syahadan gajahku yang bernama Syah Kertas yang gila makan minyak ini kurandungkan pada balairung raja Melaka yang tujuh belas ruang itu. Jikalau tiada kuperbuat demikian seperti cakap ini, bukanlah anak raja Terengganu”.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 254)

Kata-kata kritikan ini dilemparkan oleh Megat Terengganu setelah mengetahui peristiwa penculikan Tun Teja. Megat Terengganu sengaja menonjol-nonjolkan kelebihan dirinya sendiri dengan mempersendakan kekuatan Hang Tuah dan juga pertahanan negeri Melaka.

c)                  Gaya Bahasa Sindiran
Gaya bahasa sindiran atau satira banyak didapati di dalam hikayat bahasa Melayu Klasik tetapi tidak pada karya moden. Pengarang mewujudkan gaya bahasa ini bertujuan untuk mengejek dan menyindir sesuatu perbuatan ataupun watak di dalam sesebuah karya sastera. Penggunaan gaya bahasa sindiran ini jelas kelihatan pada Hikayat Hang Tuah menerusi kata-kata yang diucapkan oleh Bendahara Paduka Raja semasa menyindir para pegawainya, iaitu :

Maka kata Bendahara , “Naiklah ke atas balai itu duduk. Tuan-tuan sekalian hendak ke mana datang pada hamba ini, kerana hamba ini bukan pegawai raja? Adakah pegawai raja meninggalkan temannya? Jika hamba pegawai, pada ketika itu juga hamba memberi balas akan orang yang henak membunuh hamba itu?”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 425)
Semasa Patih Kerma Wijaya mengetahui bahawa Ratu Lasem telah mengambil anaknya, Ken Sumirat tanpa memberitahu kepadanya, kata-kata sindiran di bawah telah diucapkan olehnya.

“Lihatkan ratu Lasem ini memberi aku malu! Beberapa aku membuat kebaktian padanya tiada juga kelihatan padanya dan beberapa pula negeri kukalahkan tiada juga berguna kebaktianku…..”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 51)

Pengarang juga menggunakan gaya bahasa satira semasa menggambarkan kata-kata sindiran yang ditujukan oleh Hang Tuah kepada Patih Gajah Mada. Wacana dialog tersebut adalah seperti berikut:
Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 163)

Kata-kata pedas yang dilemparkan oleh Hang Tuah ini dirasai oleh Patih Gajah Mada sehinggakan dia malu tersipu-sipu. Gaya bahasa satira sekali lagi digunakan oleh pengarang dalam pertuturan Raja Melaka setelah mendengar fitnah Patih Kerma Wijaya terhadap Hang Tuah. Kata-kata baginda adalah :

“Wahai Si Tuah! Harapnya aku akan dia maka berbuat pula akan aku demikian ini.”
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 206)

No comments:

Post a Comment