Sunday 19 May 2013

PENGARUH BAHASA ASING


Pengaruh Bahasa Asing
Latar Belakang Peminjaman Bahasa Asing
Bahasa Melayu turut meminjam perbendaharaan kata asing bagi memperkayakan perbendaharaan katanya. Peminjaman sesuatu kata boleh dilakukan secara terus atau melalui penterjemahan sesuatu perkataan atau konsep asing. Peminjaman terus dilakukan dengan cara menyesuaikan bentuk atau sebutan sesuatu kata asing ke dalam bahasa Melayu manakala peminjaman melalui terjemahan dilakukan dengan mengambil makna atau konsep perkataan asing itu, kemudian makna atau konsep tersebut diberi padanannya dalam perkataan Melayu.
Kelebihan peminjaman secara terjemahan ialah dapat mempertahankan ketulenan bahasa Melayu. Apabila sesuatu perkataan bahasa asing tidak mempunyai padanan maknanya dalam bahasa Melayu atau kata terjemahan Melayunya tidak membawa makna atau konsep asal kata bahasa sumber, maka peminjaman secara terus perlu dilakukan.
Sesuatu kata juga boleh terserap ke dalam perbendaharaan kata bangsa lain melalui pertembungan budaya. Misalnya Semenanjung tanah Melayu pernah mempunyai hubungan kebudayaan dan perdagangan dengan negara asing seperti India, Arab dan China sejak beratus-ratus tahun dahulu. Hasil daripada interaksi dan hubungan yang berlaku dalam jangka waktu yang lama menyebabkan beratus-ratus kosa kata asing terserap ke dalam bahasa Melayu.
Terdapat beberapa sebab bahasa Melayu meminjam perbendaharaan kata bahasa asing. Antaranya ialah keperluan untuk menamakan sesuatu benda, konsep atau fenomena baru kerana bahasa Melayu tidak mempunyai perkataan yang sesuai untuk menjelaskan hal tersebut. Selain itu, kekerapan menggunakan perkataan bahasa asing yang lebih tinggi berbanding menggunakan perkataan itu dalam bahasa penutur natif. Hal ini menyebabkan perkataan sing itu lebih mudah diingati dan difahami.
Bahasa Melayu turut meminjam perbendaharaan kata asing kerana untuk mengatasi masalah sinonim. Contohnya, perkataan nikah dipinjam daripada bahasa Arab untuk maksud yang lebih sopan dan rasmi bagi perkataan kahwin. Di samping itu, perbendaharaan kata asing juga dipinjam untuk mengungkapkan sesuatu kata dengan lebih tepat. Contohnya, dalam bahasa Melayu telah ada perkataan buruk, tetapi untuk mengungkapkan sesuatu yang lebih buruk digunakan perkataan dahsyat yang dipinjam daripada bahasa Arab.
Faktor-faktor inilah yang menyebabkan bahasa Melayu meminjam kosa kata asing. Walau bagaimanapun, tugasan ini hanya akan memberikan fokus terhadap pengaruh unsur bahasa asing pada zaman bahasa Melayu klasik dalam Kitab Sulalatus Salatin sahaja. Antara kosa kata asing yang dipinjam oleh bahasa Melayu dalam kitab tersebut adalah daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi dan Jawa.



Peminjaman Kata Bahasa Sanskrit
Pengaruh bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu berlaku sejak zaman bahasa Melayu Kuno lagi iaitu dari abad ke-7 hingga abad ke-13. Bahasa Sanskrit dibawa oleh pedagang India yang datang berdagang di Kepulauan Melayu dan disebarkan oleh pendeta agama Hindu dan Buddha. Bukti kukuh yang menyatakan bahasa Melayu meminjam kosa kata bahasa Sanskrit ialah melalui penemuan empat buah batu bersurat pada abad ke-7.

Contoh Tulisan Sanskrit

Penyerapan bahasa Sanskrit dalam bahasa seharian dijadikan sebagai salah satu cara untuk memperoleh kemegahan. Keadaan ini menyebabkan peminjaman perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu asli tetap digantikan juga dengan bahasa Sanskrit kerana penggunaan bahasa Sanskrit dianggap lebih sesuai dan menepati maksud yang ada dalam perkataan bahasa Melayu itu sendiri. Selain itu, situasi ini juga berlaku kerana bahasa Sanskrit dianggap lebih tinggi mutunya kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa sarjana.
Berdasarkan tulisan Palava yang tercatat di atas batu bersurat pada zaman pemerintahan kerajaan Sriwijaya itu jelas menunjukkan yang Kepulauan Melayu dan India telah mempunyai hubungan dagangan sejak sekian lamanya. Hubungan dua hala ini menyebabkan bahasa Sanskrit yang diserap masuk ke dalam bahasa Melayu meliputi pelbagai bidang seperti dalam bidang keagamaan, perdagangan dan pemerintahan. Aspek-aspek bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit melibatkan aspek kosa kata, imbuhan dan juga sistem bunyi. Antara contoh kata pinjaman bahasa Sanskrit dalam Bab 6 teks Sulalatus Salatin ialah seperti berikut:
Bahasa Sanskrit
Bahasa Melayu
Kekerapan penggunaan dalam teks
Rajaputraka
Putera
8
Mantrin
Menteri
24
Sanabhya
Saudara
3
Wuat
Buat
6
Bhasika
Bahasa
1

a)                  Peminjaman Kata Bahasa Arab
Pengaruh bahasa Arab mula meresap ke dalam bahasa Melayu dengan kedatangan Islam ke Alam Melayu. Aspek-aspek bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh bahasa Arab ialah dari segi kosa kata, struktur ayat dan juga sistem bunyi. Apabila berlakunya peminjaman daripada bahasa Arab maka, perubahan leksikal yang dilakukan ialah dalam kata umum dan juga istilah. Setelah agama Islam tersebar ke seluruh dunia, bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa pengantar dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam bidang bahasa umum di Nusantara.
Penggunaan bahasa Arab dalam Sulalatus Salatin dapat dijumpai dalam golongan kata umum yang bermaksud hubungan antara Tuhan dan manusia, perniagaan dan upacara-upacara seperti kelahiran, perkahwinan, pemakaman dan sebagainya. Antara contoh kata pinjaman daripada bahasa Arab dalam kitab Sulalatus Salatin ialah:
Bahasa Arab
Bahasa Melayu
Warga
Rakyat
Dunya
Dunia
‘Alam
Alam
Adat
Adat
Salam
Salam

Contoh Tulisan Arab Zaman Kuno

b)                 Peminjaman Kata Bahasa Parsi
Seperti bahasa Arab, pengaruh bahasa Parsi dalam kitab Sulalatus Salatin turut dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang bertapak di Alam Melayu. Oleh hal yang demikian, peresapan kosa kata bahasa Parsi dapat dikatakan berlaku sezaman dengan masuknya unsur-unsur bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu. Namun demikian, pengaruh bahasa asing lebih tertumpu dalam lapangan kesusasteraan Melayu sperti yang terdapat dalam kitab Sulalatus Salatin.
Dalam bidang pemerintahan, kosa kata Parsi banyak digunakan untuk gelaran raja-raja Melayu dan upacara penabalan raja-raja Melayu. Sehubungan dengan itu, raja-raja Melaka yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin dikatakan berasal daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Nama raja-raja Melayu Melaka pula membawa gelaran Syah. Penggunaan perkataan Syah sebenarnya merupakan kata pinjaman daripada bahasa Parsi yang dibawa masuk oleh orang India. Antara contoh lain kekerapan penggunaan kata pinjaman daripada bahasa Parsi dapat dilihat dalam Bab 6 teks Sulalatus Salatin.
Bahasa Melayu-Parsi
Kekerapan penggunaan dalam Bab 6 teks Sulalatus Salatin
Kahwin
1
Medan
1
Serunai
1
Pasar
3



c)                  Peminjaman Kata Bahasa Jawa
Pengaruh bahasa Jawa terhadap bahasa Melayu menjadi semakin dominan pada zaman kerajaan Majapahit yang menjadikan bahasa Jawa sebagai teras pemerintahannya. Pada zaman bahasa Melayu klasik, bahasa Jawa bukan sahaja mempengaruhi kosa kata bahasa melayu tetapi turut mempengaruhi aspek tulisan. Penyebaran bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu berlaku melalui beberapa saluran termasuklah dalam kesusasteraan Jawa dalam bentuk cerita-cerita panji dan juga melalui pengaruh interaksi sosial dan ekonomi. Bahasa Jawa dan bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun. Kedua-dua bahasa tersebut tergolong dalam keluarga bahasa Indonesia.
Pertembungan orang tempatan yang menutur bahasa Melayu dengan pendatang Jawa yang bertutur dalam bahasa Jawa menyebabkan unsur-unsur bahasa Jawa meresap ke dalam bahasa Melayu terutamanya dalam kitab Sulalatus Salatin. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa kata-kata pinjaman Jawa dalam kitab Sulalatus Salatin meresap secara terpencil dan tidak tersebar dengan luas. Hal ini berlaku kerana migrasi orang-orang Jawa yang masih mengekalkan bahasa mereka dan tidak menguasai perbendaharaan bahasa Melayu yang sebenarnya. Antara contoh lain kekerapan penggunaan kata pinjaman daripada bahasa Jawa juga dapat dilihat dalam Bab 6 teks Sulalatus Salatin.

Bahasa Melayu Jawa
Kekerapan penggunaan dalam Bab 6 teks Sulalatus Salatin
Kaget
1
Ayu
3
Kali
6

Contoh Tulisan Jawa

No comments:

Post a Comment